Followers

Carian Dalam Blog Ini

Wednesday, October 31, 2012

~ Kerna Terluka ~

~ Kerna Terluka ~

Kabur pandangan mata
sebak menahan pilu jiwa
saat terlerai segala

tidak pernah kusedari
kehadiranku rupanya tak bererti
mungkin hanya sekadar pelepas sepi
tika kau tak punya sesiapa di sisi

siapalah diriku di hatimu
mungkin sekadar angin lalu
datang dan pergi
tak pernah kau endahkan
tak langsung dipedulikan

pernahkah kau terfikir
bait-bait katamu
menghiris nadiku
ikutkan rasa amarah
perlukah lagi aku mengalah

kerna terluka
aku menjeruk rasa
palitan duka tercalar
sesaat pun tak dapat dilupa

bagi diriku
sekali terluka…selamanya akan terasa
sekali dikhianati…selamanya akan diingati
lalu harus bagaimana untukku
mencari penawar merawat diri

pasrahku padaNya Yang Maha Mengetahui
pasti ada hikmah tersembunyi
tersirat tersurat di sebaliknya
tak pernah kuberdendam
biarlah karma dariNya
yang akan membalas setiap perbuatan

~ Ya Allah…tabahkan hatiku, kuatkanlah imanku, teguhkanlah pendirianku menempuh dugaan & ujianMu…..aamiin…~

~ Tinta Pena ~ Alamanda Desa ~
~ 31102012 ~ 9.50 pm ~

Setelah hujan

Setelah hujan

sayup-sayup
suara nyayian
mendayu-dayu
dari kejauhan
Onk! Onk!
katak melepas gian...

CNM

Bisik Kerinduan..

Bisik Kerinduan..

Bisik kerinduan di angin lalu
menakluk gelisah di bening mata
membongkar mimpi dalam jaga

Dengan jemari kulukiskan kanvas waktumu
hingga sorot matamu menerawang
menerbang ke masa lalu

Lorong waktu yang tak habis kautelusuri
hingga warna segala warna memasuki tidurmu
mimpimu yang berwarna segala

Sampaikan salam pada penghujung hari
airmata mencurah dalam rindu
tapi membeku dalam waktu

~amran azahari~
31 Okt 2012 - 09:44pm.

MENARA AIR MATA

MENARA AIR MATA

Kuasa gusar menggelegak
dendam bara sungai denai membuak
memuntah lelahar api kepanasan
kaki gunung bergoncang
rekahan gegaran
lena penghuni rimba tersentak
mimpi indah jadi ngeri
menara air mata
calar retak

Riuh sang unggas
pepohon renek berbisik
panggillah kancil ada trampil
banyak akal boleh dicungkil

Semut lebah ada ikhtiar
anai-anai bijak mereput
siput lembab ada upaya, sesungut pengesan radar
peranan tebuan tentu menyengat

Mawar berduri biar menggoda
bersama haruman kumbang terfana
sungai cemar lubuk buaya ditabur tuba
tiada kelisa bermaharajalela

Penghuni rimba memindah singa
bisa- ditawar
karat- digilap
layu- disiram
condong- tegakkan
keruh- jernihkan
kabur- jelaskan

kembalikan sinar bebintang
kembalikan kesegaran embun
kembalikan keriangan unggas
kukuhkan jembatan pelangi
jangan sungai tercemar lagi
bebendang dikongsi adil.

YHI
Segamat Johor
31102012

Bila Kejora Tersenyum..

Bila Kejora Tersenyum..

Bulan tersenyum padaku
kerdip kejora tersenyum bahagia pula
lengkung senyum kejora
membentuk aurora di ufuk malam
melepas dahaga kerinduan
di puncak tinggi Himalaya

Mencintaimu berawal
dari menatap di kejauhan
hingga kadang-kadang
khayalan memenuhi jiwa

Ingin rasanya
kukunjungi pustaka hatimu
dan menuliskan jurnal cintaku
serta menterjemahkannya
ke dalam galeri cintaku
yang selalu terbuka untukmu

~amran azahari~

lukisan

lukisan

kujahit kanvas yang tercarik
kuikat hujungnya yang terputus
agar aku dapat menatap kanvas yang dulu
lakarannya menarik rasa
warnanya ada tona sejuk dan panas
melihatnya saja aku jadi rebah
hingga aku pernah parah

Jalan

Jalan

tiada jalan lurus
umpama landasan terbang
untuk kamu tiba ke puncak
jalan berliku
denai berduri
pasti ditemui...

ada jalan pantas
umpama kereta api laju
untuk terjunam ke lembah
bergelumang kehinaan
andai memilih lorong-lorong hitam
tidak perlu bersusah..

CNM

SYAIR MENDUGA ( 1 )

SYAIR MENDUGA ( 1 )

Syair terukir mengungkap minda
buat memikir berlapang dada
dalam berkalam berpada-pada
agar kebahagiaan membawa redha.

Dalam hidup serba sederhana
jiwa terangkai mesra dibina
tidak bermegah di sini sana
mabuk asmara insan terlena.

Cinta sejati merantai hati
cinta palsu sukar dimengerti
bijaklah menilai dengan bestari
agar dapat kendali diri.

Carilah insan teguh beriman
sempurna dirimu dalam berteman
harum hatinya bak bunga di taman
abstrak jiwanya bagai seniman.

Akalnya tinggi tidaklah dangkal
bijak bertindak serta tawakkal
budi dan pekerti menjadi bekal
di kemudian hari tidak menyesal.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
31 Oct 2012
7.56 pm

JURAGAN

JURAGAN

Apa-apa saja juragan yang gawat
Yang kita perbuat
Harus ada acuan cermat
Bukan ikut ikutan tangkap muat.

Apa-apa saja juragan
Yang kita lakukan
Mesti ada saluran peraturan
Bukan saja suka-sukaan.

Apa-apa saja juragan
Yang kita luahkan
Samada resah perasaan
Mesti caranya berkobaran
Bukan hantam keromoan
Tidak juga main-mainan
Wajib yang betul-betulan.

Apa-apa saja juragan
Yang kita tak sengaja lakukan
Jangan buat remeh-temehan
Apabila telah keterlanjuran
Kerana kita tidak terlepaskan
Dari ungkitan ragam tangan
Apa-apa saja yang kita lakukan
Sikap kemalasan
Yang keterlampauan
Apa-apa saja sudahkan
Dengan nilai kehebatan
Sebab kita adalah juragan.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Segamat,Johor.
311012@1818hrs(Rabu).

MEMANDANG KE LANGIT (1)

MEMANDANG KE LANGIT (1)

Kegelapan malam lembut membelai kalbu.
Seperti selalu, kami bertemu di alam maya, bergurau, usik mengusik dan berbicara dengan melompat dari satu topik ke topik perbualan seterusnya. Malam ini cerita kami berkisar sekitar apa yang saya dan dia suka lakukan tatkala perlukan ketenangan.

Kata saya: Suatu ketika dahulu, saya suka duduk di tepi jendela loteng sambil memandang langit. Dengan bertemankan daun-daun yang meliuk indah bila disapa bayu malam, saya akan meluahkan segala kesedihan pada Sang Bulan yang setia. Perangai yang terbawa-bawa hinggalah ke alam remaja.

Menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Otak jauh menerawang, fikiran menjelajah ke seluruh angkasa. Angin malam, sejuk dan mendamaikan. Saya akan duduk berjam-jam di situ, sehinggalah ada rakan yang menegur atau bila kesejukkan malam mula menggigit hingga ke tulang.

Sewaktu saya masih kecil, arwah ayah selalu bercerita tentang bulan. Kisah pungguk yang merindui bulan, kisah Puteri Lindungan Bulan serta lagu-lagu yang bertemakan bulan. Lama- kelamaan saya pun terikut-ikut dengan cara arwah ayah. Suka bertemankan bulan sewaktu saya menulis, sewaktu kesunyian menyelubungi diri, sewaktu kesedihan membanjiri hati dan apabila saya rindukan arwah ayah.

bersambung.

-LM/HN 31102012-

SYAIR MENDUGA (2).

SYAIR MENDUGA (2).

Lagu bernama Pak Ngah Balik
dinyanyikan penyanyi bersuara gemersik
dalam pilih tilik menilik
gadis terpilih tentunya cantik.

Kelapa dikupas diambil sabut
buat menambak di tanah gambut
bila gadis berwatak lembut
luahan hati mudah bersambut.

Ikan bersisik si ikan siakap
kilau di air nampak gemerlap
lihatlah dulu watak dan sikap
jangan tersasar berbuat silap.

Naik buaian di hujung sana
dibuai angin sampai terlena
budi ditanam biar bermakna
jangan sekadar membawa hina

Kait rambutan gunakan galah
jangan dipanjat dahan yang sekah
sebelum terlanjur berbuat salah
baik berijab membawa nikah.

Che Fauziah Idris.
Kuala Kurau
Perak
31 Oct 2012
5.24 PM

Hatinya Berdetak

Hatinya Berdetak

Hati ini berdetak,
jantungnya bergetar,
nadinya tiada keruan.

Hatinya berbalam ujar,
ujarnya berbalah lontar rasa,
rasanya penuh berbunga.

Duhai sang bayu bawalah resah,
duhai sang merpati bawalah kisah.

@binTaNg d hAti

Tika Kau Memejamkan Mata..

Tika Kau Memejamkan Mata..

Sungguh jauh melayan mimpi-mimpi
Meneroka khazanah diri
Yang belum terjawab hingga kini

Kaumemejamkan mata
Merasai halusnya belaian angin
Seakan berlari menuju impian tinggi
Mencapai bintang untuk berdiri
Membawa bulan untuk menyeri destinasi
Di dasar hati tempat letaknya cintamu
Damai indah terasa saat terapung di angkasa hati

Ini bisik rindu angin dari laut
Tentang pantai yang telah kausingkirkan
Tanpa rasa seolah tiada luka
Pada daun-daun cemara

Dan kauingin bebas ditiup angin yang diingin
Dibuai kesejukan bayu
Biar membeku masalah lalu
Kerna aku ingin kauterbang bebas
Seperti kupu-kupu dibawah angin

Tika angin menyapa
Engkau datang melepasi jendela
Dingin bayu meresap rasa
Berhembus ke wajahmu
Bergerak di sekelilingmu

~amran azahari~
31 Okt 2012 - 03:27pm.

~ Getaran Kasih DiBadai Rindu ~

~ Getaran Kasih DiBadai Rindu ~

Tika getaran kasih mendebar
sukma, semilir rindu
menyapa di kamar hati
membelenggu asa
di perdu cinta

Di hujung pelamin terindah
menghiasi ruang tamu
berbisik kalimah syahdu
merungkai irama paluan
bersanding kasih

Berhalusinasi di sebalik
impian, tercetus aroma
cinta, mengintai lubuk
rindu, di persada
alunan buaian kasih

Bernoktahkan akur
janji, terungkap
di bibir, ikhlas jujur
terpatri, kesetiaan
berpadu, di ranjang rindu

Digelangi cinta dan kasih
berselerak dedaunan rindu
menyemarak asyiknya
melingkar di pangkuan
kalbuku

Puing-puing berkasih
menyusup jiwa
terkedu disapa belaian
cinta, merantaiku
di mahligai rindumu...

'Getaran Kasih DiBadai Rindu'...bersama akhirnya pesona cinta...

31hb Oktober 2012 Rabu
3.40pm
csnq

Sandy, kau ada misi

Sandy, kau ada misi

kau datang bersama misimu
menggelidah warga yang terbuai
dengan kuasa angkuh pada kemajuan
dan vetonya
pada mereka adalah segalanya
yang tidak dibenarkan selain mereka.

kau datang meski telah diramal
tanpa izin kau limpahkan kekuatan
membawa bersama air laut
memenuhi Sungai East dan Hudson
menengelami terowong kebanggaan
mencantas hubungan Pulau Manhattan
memutuskan bekalan tenaga dengan kekuasaan
New York City yang elit dan angkuh terpukul
bergelap dan panik mencengkam warga
bergoncanglah pencakar langitnya
melautlah tapak bangunan 11 September 2001
lalu apalagi yang mampu dikomenkan
kerana Sandy adalah sebuah utusan
di dalam ada warkah-Nya tercatat peringatan.

demikian Sandy
dan lain-lain taufan terus mencatatkan sejarah
meninggalkan warna-warna kesedihan dan kemuraman
memusnah dan melumpuhkan
- hadirnya adalah sebuah kemurkaan
pada kebathilan dan keangkuhan umat
padat dengan laknat
ingkar bertaubat
menapikan rahmat -

ya rabb
pada-Mu adalah terkumpul maha kebaikan
yang tiada dimiliki oleh makhluk angkuh
buta hati dan akal.

Abdullah Tahir - 31 Oktober 2012.

Tengkujuh Datang

Tengkujuh Datang

...hati mak ayah walang
hujan mencurah bimbang
air banjir menenggelam
rosak tanaman
mati ternakan...

...hati anak-anak riang
melompat main air hujan
berenang dalam kubang
merah mata baru pulang
kulit kecut lama berendam...

...hati nelayan melayang
tak dapat ke laut tangkap ikan
rezeki hilang
kais pagi kais petang
nak isi perut anak lima enam orang...

...hati penoreh getah kontang
pokok basah tak boleh dikerjakan
termenung menanti mentari datang
bawa cahaya terang
ada pendapatan...

Oh! Musim hujan, macam-macam hal kejadian.

CNM
Aku yang alpa

Bila hilang kepercayaan pada manusia
Pada siapa lagi hendak kupercaya
Kalau bukan pada Tuhan?
Bila tiada insan hendak kumencurah hati
Pada siapa lagi hendak kumengadu
Jika tidak pada Tuhan?
Tuhan sentiasa ada walaupun aku ada waktu tidak mengingatiNya
Tuhan selalu mendengar walaupun aku cuma bersuara di dalam hati
Dan Tuhan selalu bersama walaupun aku sering membuat dosa
Jahilnya aku dalam mengenal-Mu Tuhan
Bodohnya aku untuk mengenali cinta-Mu
Namun Engkau masih Mengasihi aku
Masih lagi menghidupkan aku
Ya Allah, ampuni aku maafkan daku
Kuserahkan jiwa dan ragaku ini
Hanyalah untuk-MU..
Aamiin Ya Rabbi Al amiin..

Sutra d’Jiwa
ENI
31102012

Hujan ini

Hujan ini

Hujan ini
mengembalikan ingatan
musim tengkujuh di kampung halaman
berbaju hujan
berkasut Phua Chu Kang
meredah tepian jalan
memerhati sepat puyu haruan
melompat menongkah arus air longkang
masuk ke dalam bubu yang kutahan...

goreng kunyit aku makan kenyang.

CNM

HUJAN PELANGI

HUJAN PELANGI

Antara hujan yang jatuh membasahi bumi
selepas panas bertukar ganti
tompok awan hitam masih mengiringi
mencari bintik-bintik tari asli
mentafsir noda-noda benci
menghalang angin berlari.

Antara pelangi yang datang menghampiri
selepas sejuk salju mula berhenti
titisan hujan masih mengiringi
mencari rintik-rintik air di kali
melihat lahar gunung merapi
menghalang tanah terpalit salji.

HAdira Kifly
Hati Bidadari
Bandar Baru Bangi
27072012 , 23:20
10pp

Sandy tingkahmu kejam,
tidak seindah nama,
wajah sebenar lihat kesannya.

CNM

BAYU DAN SANDY

BAYU DAN SANDY

Bayu
hadir didamba
mengusap sedap
lembutnya membelai
dedaun sopan melambai
lena dirangkul malam
berbisik asyik

Sandy
digeruni
deras memintas
mencengkam kejam
tangan ganas memulas
warga kian cemas

YHI
Segamat Johor
31102012
10pp

Jika alam tidak lagi mesra, tiada apa yang mampu menghalang.

CNM

DISKUSI HATI II

DISKUSI HATI II

Hidup bukan mudah
hidup perlu tabah,
hidup kadang sukar
hidup perlu sabar.

Hidup tak semesti indah
yang indah itu,
menghargai sebuah kehidupan.

Sabar dalam sukar
tabah dalam payah,
yakin tersembunyi hikmah.

~ Sekadar Catatan TintaMataPena ~
::AlangEynna::
Oct 30, 2012; 12:15pm
10pp

Aduh pedih! jariku terluka mengalir darah, jejari payungku menghiris jariku.

SARA SE BULAN PERTAMA

SARA SE BULAN PERTAMA

Timang-timang cucuku sayang
Buah hati nenda dodoikan
Terus menyusu sampai kenyang
Tenanglah tenang dalam dakapan

Terpancar wajah sinar cahaya
Sara tersenyum senang terasa
Semogalah jauh dari marabahaya
Riang gembira sepanjang masa

Nenda berdoa kepada Yang Esa
Kepada Tuhan yang Maha Kuasa
Bila Sara sudah dewasa
Hidup bahagia sepanjang masa

Timang-timang cucuku sayang
Kasih hati permata nenda
Tidurlah tidur cucunda sayang
Bangun nanti didakap nenda

…..Nenda 20April 2011, Kota Bharu
10pp@3-3-4

Aroma wangian rindu,
membajai pohon kasih,
cinta mekar menguntum warna.

CNM
10pp

Sebelum meneruskan aktiviti,
mari sempurnakan solat zohor,
semoga tenang hati.

CNM

KEINDAHAN ALAM MAYA

KEINDAHAN ALAM MAYA

Kalau hari ini indahnya memang memukau
Esok dan lusa jua selamanya humbankan kacau
Intai-intai di laman buana yang fana hijau
Nyahkan gumpalan titik-titik berbilion awan nano kelabu
Dalam perhentian hembusan angin bayu
Alam yang indah bermandi panorama nian membiru
Hijau adalah warna asal pelangi yang memilu
Asyik dipandang mata menukil kata di perdu kalbu
Nyamankan setiaap resah berhamparkan kelikir-kelikir berbatu.

Alam ini pentas lakonan berwatak dan bertaman tema jua bermusim
Lembayung senja adalah bagaikan kain-kain perca tabir di kaki langit
Awan yang beranjak putus-putus tidak pernah diam
Mati pun cumalah catatan nyata hakikat berbumbungkan langit.

Musim kala bersemi
Anjurkan pola-pola semilir rasa
Yang senentiasa terbungkus selimut damai
Alam maya damainya alirkan sungai-sungai di jagat raya.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Segamat,Johor.
311012@1245hrs(Rabu).

~ Andainya Dikau Tahu ~

~ Andainya Dikau Tahu ~

Andainya dikau tahu
di setiap bait-bait terukir
jauh di sudut hati
tersimpan sekelumit
rinduku padamu

Andainya dikau tahu
tika rembulan kasih syahdumu
terpancar sinar indahnya
di pangkuan

Andainya dikau tahu
tika lembayung senja
kasihmu, menyelubungi
angsana buaian rindu
relaku menerimanya

Andainya dikau tahu
di kala rimbunan rindumu
menggamit resah semuku
pastinya terungkai segala
yang terpendam

Andainya dikau Tahu
di saat dan ketika ini
ingin kubelai dan kujaga
rentetan sukmamu
di pangkuan cintaku...

'Andainya Dikau Tahu'...keluhuran cintaku yang abadi...

31hb Oktober 2012 Rabu
4.25am
csnq

Hilang Punca

Hilang Punca

Rama-rama
terbang di malam kelam
sayap dikibas-kibas
melayang
terbangnya melayang
jatuh di lantai
tertiarap
patahlah sayap
hilang nyawanya.

Keras terus mengeras.

ss/spl/pm ... 30/10/2012.

♥ BIDADARIKU ♥

♥ BIDADARIKU ♥
anugerah istimewa
kurniaan Ilahi
sifat manjamu kutertawan
kenakalanmu
menghiburkan sukma naluriku
sopon santun tingkah lakumu
mendamaikanku
♥ Anna ♥
terima kasih hadir dalam hidupku ...

~BfAnna ♥ ♥ ♥
2.45Am~31/10/2012
~Taiping ♥

~LANGKAHKU HAYUN ~

~LANGKAHKU HAYUN ~

tercuit cuit sukma
gemersik menyapa
manik manik bertaburan
dihentam kepiluan

kembara dilalui
onak ranjau berduri
terhempas terlontar
arah kemudi
mencari kasih rindu azali ...

~kucari penawar agar kudis bernanah sembuh seperti sediakala ~

~BfAnna ♥ ♥ ♥
31/10/2012 ~ 2.10Am
~Taiping ♥

~ BIASAN ~

~ BIASAN ~

kurenung kutatap
wajah kusam
berbintik bintik parut
ada kalanya senyum
ada kalanya mengerut
mengumpul seribu rahsia
tersendiri ...

~ kulihat di cermin wajah sayu yang penuh nostalgia ~

~BfAnna ♥ ♥ ♥
~00.40Am..~ 31/10/2012
~Taiping ♥ ~

♥ Bicara Hati ♥



Dari kejauhan kuungkapkan bicara
Bicara hati seorang hamba
Hidup ini adalah sementara
Menunggu detik pergi jua

Pada-Mu Tuhan abdikan diri
Hidup ini perlu dijalani
Susah senang tetap dihadapi
Kerna itu anugerah Ilahi

Tuhan,
Sinarilah hidup ini dengan kasih-Mu
Payungilah hidup ini dengan rahmat-Mu
Ampunilah segala dosa-dosaku
Hanya pada-Mu jua yang kutuju..

-isma anis al-fikri ~ 30/10/2012-

~ Di Sebalik Retaknya Cermin ~

~ Di Sebalik Retaknya Cermin ~

Di persisiran gerigi pantai
ombak menderu pantas
sekelip mata berubah
tika dilambung gelombang
arus yang kejam

Berakit di tepi hulu samudera
sampan retak, dipukul badai
musnah di lautan duka
berpanjangan, meredah
ombak yang ganas

Di celah batu kerikil tajam
kain tercarik membalut luka
yang berdarah, pedih dan
bisa, tak berdaya, hanya
bertongkatkan sebatang
kayu rapuh

Malam kian hampiri
kupasungkan khemah
untuk berteduh, menunggu
hari siang, biarpun berselimutkan
dedaunan kering

Berpasrah dengan keazaman
menempuh liku-liku
merenangi denai-denai
yang sunyi, agar kutemui
ketenangan di hujung
titian hidupku...

'Di Sebalik Retaknya Cermin'...kugagahi jua...

31hb Oktober 2012 Rabu
1.02am
csnq
10pp
Gebang cintamu tiada pernah surut,
keletah berkicau di rimbunan kasih.
10pp
Syukran Filzati,
menghampar cinta di taman hati,
kasihmu haruman syurgawi.

aku buat pilihan

aku buat pilihan

antara;
kegebuan laman maya
dan
keseksian tilam dan bantalku...

naluri kesukaan
tewas kepada
nafsu tidurku...

CNM

Terbenam senja di kaki langit..

Terbenam senja di kaki langit..

Mentari membenam senja di kaki langit
membiarkan lembayung terapung
membias jauh cahaya
sebelum dihambat kelam malam
berdetak mengalirkan sejuta rasa
rasa keindahan menari dalam semilir angin

Ada cerita disebalik cerita yang tertulis
di antara hembusan nafas dan denyut nadi
detak tak berhenti menyapa
menatap aku pada kedalaman jiwamu
untuk kuberlabuh walau sejenak

Sebelum senja terlelap
mataku menatap indahnya lembayung
dalam ukiran hati dan jiwa
dan esok kumasih berharap
masih ada kesempatan menatap lembayung
dalam lukisan jiwa tanpa bentuk
yang hanya ada dalam mimpi dan garis khayalku

~amran azahari~
3- Okt 2012 0 11:23pm.
10pp
Bulan pun tersenyum menyerakkan cinta,
Aku pun tersipu menunduk malu.
10pp
Kamukah sayang di sebalik jendela,
mengirim rindu bersama angin malam.

Tuesday, October 30, 2012

10pp
Kerinduan itu mengelar setiap inci urat nadiku mengalir darah kepedihan.
10pp
Rinduku kebasahan, izinkan berteduh di jendela hati, hujan bila berhenti?

Segalanya Berkemungkinan Di Hatiku

Segalanya Berkemungkinan Di Hatiku

Mungkin aku meyayangimu kerana wajahmu
mungkin juga aku mengasihimu kerana perwatakanmu
mungkin juga aku jatuh cinta padamu kerana akhlakmu yang memikat sukmaku
pandai mengambil hatiku dengan belaian kasih sayangmu
bijak melenakan aku dengan kerinduanmu yang jitu
bersungguh-sungguh dalam merebut kasih sayang milikku
dari ribuan teman yang cuba menghimpit
dan melemaskan aku
sehingga terdampar aku di ribaan cintamu.

Entahlah sayang
aku tak dapat merumuskan
tentang perasaanku terhadap dirimu
yang aku tahu, aku amat menyayangimu
mengasihimu dan menyintai kamu
tiada yang pasti tentang perasaanku
yang mampu aku jawap akan pertanyaan dari cintamu.

Janganlah ditanya lagi sayangku
aku tiada jawapan bagi setiap persoalanmu itu
segala-galanya berkemungkinan di dalam hatiku.

Dalam kelam di situlah aku mencongak perasaanku terhadapmu.

ss/spl/pm ... 30/10/2012.
10pp

Selimut cintamu setia menemani malam-malam sepiku, menebar harum wangian kasturi.

SENGKETA

SENGKETA

Segalanya bermula dengan sumpah janji berdarah
Ego adalah sarang-sarang bongkak menjajah
Nangis tidak jua menyelesaikan masalah
Gagal dalam berjasa runtuhkan tembok lalu musnah
Kota yang damai kini menjadi pemalsuan sejarah
Evolusi yang terbina atas jejak-jejak langkah
Telah ditelanjangkan selepas bermandi sumpah
Ada nama namun tanpa seurat benang maruah.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Segamat,Johor.
301012@2308hrs(Selasa).

Meniti Hari..

Meniti Hari..

Dalam meniti hari
Kusempatkan diri untuk terus menulis
Untaian madah dan puisi indah
Meniti hari-hari harapan
Nun di sana

Saban hari
Kicau burung menyeri
Jernih embun memikat hati
Kasihmu nan syahdu
Selembut sutera kasih
Mengalun lena mimpiku

Ku persembahkan cinta
Bukan dongengan
Ikhlas merindu
Biar bunga-bunga
Di taman ini menjadi saksi bisu

Langkah tak berarah
Seolah mengajak pergi
Sisa mentari seakan menggoda hati
Dan aku kembali ke pangkuanmu

~amran azahari~
30 Okt 2012 - 11:00pm

WAJAH CERMIN RETAK SERIBU

WAJAH CERMIN RETAK SERIBU

Wanita adalah jiwa kisah cinta
Ada aura bertaup di rupa
Jernih sebening tabir senja
Antun seindah pelangi aneka warna
Harumnya bagai kesturi digambarkan di syurga.

Cinta adalah milik sejati bagi wanita
Erat sungguh kalau ia bermain asmara
Restu ada dalam setiap rindunya
Merumus segala cita dan rasa
Impian setiap wanita wajah ayu sempurna
Namun itu segalanya lembah lemah dan pura.

Rupa dan paras tidaklah menjadi soal
Elok perangai itu sudah afdal
Tanamkan nilai harga diri seperti tidak menonjol
Adab dan perangai baik mesti dari yang setimpal
Kelak nanti diri disorak tiadalah menyesal.

Sang wanita adalah pujangga cinta
Enggan tidak bererti tiada mahu
Rajuk adalah ramuan keindahan bebel wanita
Ibarat aur dengan tebing selalu beradu
Berjarak berpisah tiada jua
Urai ayu wanita tercalar di cermin retak seribu.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Mersing,Johor.
291012@0212hrs (Isnin).

AKU TIDAK PANDAI

AKU TIDAK PANDAI

Aku tidak pandai mengata kamu
Aku tidak pandai mengumpat kamu
Aku tidak pandai memaki kamu
Aku tidak pandai menghamun kamu
Aku tidak pandai menipu kamu
Aku tidak pandai mendustai kamu
Aku tidak pandai membohongi kamu
Aku tidak pandai mengaku di khalayak ramainya kamu
Aku tidak pandai menyetujui tuduhan daripada kamu
Aku tidak pandai bersumpah hanya kerana memuaskan kamu
Aku tidak pandai membuat bidaah bermacam kepada kamu
Aku tidak pandai turunkan ilmu kepada kamu.

Yang aku pandai menidakkan perbuatanku
Yang aku pandai adalah putarbelit caraku
Yang aku pandai adalah membuat sasau kacau
Yang aku pandai adalah merusuh melampau
Yang aku pandai adalah calitkan warna gincu
Supaya bangsaku selamanya ingat selalu
Selepas tukul siapa paku
Selepas paku ditukul diluku
Siapa yang akan ambil peduli dan ingin tahu
Setelah ketiadaanku
Tentang suku-suku bangsaku.


Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Kg.Air,Semporna,Sabah.
230912@2319hrs.

Bintang Di langit Malam...

Bintang Di langit Malam...

Di langit terlintas bayangan meteor
Membelah angkasa malam
Dan di langit juga
Bintang-bintang bergemerlapan
Memagari bulan

Bersama bintang di langit malam
Menghadirkan bahagia
Di hati yang lama terdiam
Bintang malam menjadi saksi
Cinta kita yang lama terpendam

Apakah masih nyanyianmu untukku?
Masihkah getar rindu itu tentang aku?
Kau pernah berkata padaku
"bintang tak pernah tersinggung
ketika dikatakan kunang-kunang
kerlipnya tetap syahdu menjaring hening"
Dan langit masih menggantungkan bulan di dadanya

Kita berdua di sini
Merangkai sejuta puisi cinta
Tampak cantik di malam rindu penuh gejolak rasa
Inginku petik bintang
Untuk kujadikan kerongsang
Dan kusemat di dadamu

~amran azahari~
30 Okt 2012 - 10:44pm.

JARAK JAUH

JARAK JAUH

Jelmakan impian tulen
Antara garis-garis waktu
Rengek di sukma biar dijalin
Agar nanti senang menyatu
Kesal tidak keciwa pun bukan.

Jalan pintas jarak yang jauh ini
Adalah sebuah jambatan kehidupan
Utuh dalam titik-titik bening realiti
Hari ini adalah kisah awal tentang kematian.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Segamat,Johor.
301012@1133hrs(Selasa).

KUPETIK BINTANG GEMINTANG

KU PETIK BINTANG GEMINTANG

Kekusutan di tanah hijau ini
Ulangi kemelut tabir tirai kelahi.

Perusuh adalah kamu bukan musuh
Elehkan surat bersyarat perundangan
Tidakkan damai di bahu bersih
Ibarat sengaja memilih gelandangan
Kincah sepai memerah barah bernanah.

Barangkali terlalu awal
Insan sepertiku menebas belukar
Nun di hujung tanjung berhutan tebal
Tempatkan semangat juang berkobar
asakkan kemampuan bergusar sebal
Namun kolam di hati menimba sabar
Gempitanya terpacak gagah menunggal.

Gemerlapan bintang-bintang di langit tinggi
Empayar cahaya yang bertunjang berpaksi
Memanggil-memanggil melambai emosi
Ingin disapa dipetik oleh jari-jemari
Nan terbungkus kabut embun di bumi
Tumpah menjadi danau lautan mimpi
Adunkan isi sangsi ilusi
Nahu ayat jiwa pemimpin tersusun penuh erti
Gapaikan bintang-bintang terukir di hati.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Segamat,Johor.
301012@2233hrs(Selasa).

Kala Hujan..

Kala Hujan..

Kutulis puisi ini
kala hujan gerimis
bagai bunyi tambor yang ghaib
Dan angin mendesah
mengeluh dan mendesah

Kutulis puisi ini
kala langit menangis
dan dua ekor ikan
bercintaan dalam kolam
bagai dua anak nakal
jenaka dan manis
mengibaskan ekor
serta menggetarkan bulu-bulunya

Kutulis puisi ini
kala hujan gerimis
Harum bunga
Mewangikan hujan
Lalu wujud kecintaan

Aku berbisikan antara angin
Luah rasa ke ras-ras rindu
Wajah sunyiku bergentayangan

Kala ini titis hujan
Jelma di kalbu mengetuk pintu
Membiarkan daun-daun luruh
Di tasik bening kolam air mata
Menimbunkan pucuk-pucuk gerimis
Tindih dingin membelit hadir

Kita saling bertanya
Tidak kelihatan pun
Kuyup sinar bermanja di rumputan

~amran azahari~
30 Okt 2012 - 10:34pm.

RIBUT

RIBUT

Ribut
kalut warga berpencak
bagai tsunami deras bergerak
pena merah hitam telagah
di papan kunci jejari menari
SAPS, SPBS bersilih ganti
mengikut tahap penilaian diberi
hasil tuaian dikenalpasti

Riuh rendah kantor didik
titisan terakhir semangat disuntik
mekar nanti bunga tercantik
bakal calon sembah terbaik

Terkejar sana
terkejar sini
semua warga mandi aktiviti
tenaga minda terbelah bahagi
pagi segar petangnya lesi
tanda kertas malam hari
perlu siap sebelum cuti

Dasar baru dunia pendidikan
PBS kita amalkan
lebih sistematik lagi holistik
agar warga lebih pragmatik
murid guru perlu cerdik

Pasca PMR juga tumpuan
pelagai aktiviti kita sajikan
minda segar dalam lawatan
arah tuju juga sukan

Calon SPM, STPM menanti hari
semua berdebar tidak terperi
mengasah minda sepanjang hari
memerah minda masa diuji

Mesyuarat kursus semua ada
buku program panduan warga
plan tindakan sudah dibuku
agar warga tidak keliru.

YHI
Segamat Johor
30102012

Duri-duri Cinta


Dari Kerana Mata


Rindu Dendam Cemburu Dugaan

Kolaborasi puisi dalam puisi antara sepasang kekasih memendam rindu dan perasaan.

Rindu Dendam Cemburu Dugaan

Abang,
katakan padaku
tentang panasnya cemburu
kerana yang kurasa
baranya membakar
kalbuku
katakan padaku
tentang sakitnya merindu
kerana yang kurasa
lukanya semakin parah

aku menyintaimu
namun aku tak dapat
memelukmu
aku takkan menyerah
kerana aku sangat
menyayangimu.
_________________

sayang,
api cemburu akan membakar kalbu
kerana gejolak syaitan datang menyeru
membakar nafsu amarah yang satu
melemaskanmu
tanpa penjelasan dariku,

sayang,
rindu itu perlu
menyatukan hasrat
ingin bersatu
namun jangan mengikut nafsu
kelak terbakar
dek api cemburu,

sayang,
mengertilah kamu
yang aku juga seperti dirimu
sentiasa dibelai angin merindu
pada dirimu pujaan kalbuku
setiap waktu ingin ketemu
berpadu kasih cinta dan rindu
bersatu bumbung engkau dan aku
diulit birahi kamar perindu,

sabarlah sayangku.

ss/spl/pm ... 30/10/2012.
10pp

Azan berkumandang menandakan Maghrib sudah mendatang, ayuhlah kita segera mengerjakannya.

ss/spl/pm ... 30/10/2012.

Laut Kasih 334

Laut Kasih 334

dingin hujan
mempeluwapkan wangian laut kasihmu
menusuk dalam-dalam ke kalbu
dan aku jadi sangat teruja
mendambakan hangatan asmaramu
sepanjang malam yang membuai...

CNM

Kehadiranmu Di Balik Tirai Berkabus Rindu

Kehadiranmu Di Balik Tirai Berkabus Rindu

Saat kaumengintai diriku sayang
di celahan dedaunan rindu sedang bertasbih
walaupun tidak mengetuk kamar sedar di hatiku
dan menyapa aku dengan kerinduanmu
dalam kelekaan aku dan keasyikan alpaku
dapat aku rasakan kehadiranmu di situ, di sisiku
memerhati dan membayangi setiap langkahan
perbuatanku, keseronokanku
dibelai usikan teman-teman sepermainan harianku.

Aku menanti bisikan kerinduanmu.

ss/spl/pm ... 30/10/2012.

~ BENCI ~

~ BENCI ~
Benci dengan segala harapan yang telah musnah
telah kita bina bersama dengan setiap akral diberi
ingin dijadikan sebuah impian
yang disaksi sang rembulan dan mentari
sebuah kasih cinta alam fantasi
menconteng dinding dengan pancarwarna
yang ingin dijadikan realiti
memberi harapan dengan ikral dan afsun
melayukan setiap lafasan cinta atau Cinta
prasangka dengan godaan kimbah
hanya khali bukannya dari jiwa dan tiada perasaan
namun mati cinta itu tidak terkubur
tidak bernisan hanya terbiar di tengah-tengah belantara
benci sekali aku!

~ TAPI ~
Tapi kini telah kau beralih pandangan
andun dengan tubuh dibasahi keegoan diri
mencari tempat berselubung dengan kasih sayang
menggantikan dia kerana kau jemu padaku
dengan nada indah tidak pernah dilafaskan dari permulaan bertemu
setelah mempermainkan kata kata cinta
walau aksam dipanjikan di setiap tapak Langkah kita
dengan kata-kata bindu selalu
bermain dengan manis lidahmu
memukau aku umpama berkhayal setiap saat
di setiap sudut di setiap masa

~ RINDU ~
Rindukan masa bersama
semasa berputik cinta berbunga-bunga
bagai melingsir di atas pelangi
menari-nari di ambum mega
berkembangan sang bunga mengelilingi taman fantasiku
berwarna warni seperti sang pelangi
indahnya cinta bermula dengan secerah cahaya
memanjikan setiap kata kata
sayang dan rindu hingga ke mati
walau apa yang terjadi
atau di takdir sebuah halangan
cinta dan sayang tetap bersemi
terasa gelisah jika berlaku padaku
yang tidak pernah terasa pada insan yang lain
adakah itu lakaran palsumu?

~ BENCI DAN RINDU~
Ah tiada ertinya semuanya ini
semuanya hanya palsu
permainan lidahmu sememang indah
memukau dengan setiap kiasanmu
tiada kebenaran yang dipanji
namun di hatiku tetap merindui
bergetar seperti enjin Ferarri berbunyi
di dalam gelanggang lumba memecut laju

I miss you but yet I hate you !!!!!!!!!!! hahahahahaha!!!!!

~ Nukilan Pena Ilhamku – kota singa
~ 30/10/2012
~ 11:58am

~ Redup Kelam Tiada Sinarnya ~

~ Redup Kelam Tiada Sinarnya ~

Di rimba resah, gelisah menyinggah
membenam redup sinar
seakan tiada lagi ceria
punah di reranting kasih
terluka terhiris

Kemelut di hati yang gerimis
tiada hentinya, menongkah
segala kekusutan, terungkai
satu demi satu
kesaksian diri membelenggu asa

Kala senja menjemput malam
unggas seakan sepi
tiada nyanyian menghiasi
kesunyian, hanya rintisan
hujan yang renyai

Tika subuh yang hening
kedinginan menyusup
tulang-temulang, disapa
tiupan bayu, tersentak
dari lamunan hati yang sayu

Merangkak pilu kepayahan
melintasi denau berduri
rentasi dugaan berliku
menyentap paluan
bergema sanubari

Kalbu suram kabus
menyelimuti pandangan
tergagau dalam mencari
cahaya untuk menerangi
jalan yang tersasar

Diduga seribu ujian
tempuhi jua, walau
dalam jalanku tesungkur
jua, rebah di pangkuan
di perdu yang rendang...

'Redup Kelam Tiada Sinarnya'...dalam mencari jawapan diri...

30hb Oktober 2012 Selasa
12.48pm
CSNQ

~♥ Bafta kimbahku ♥~

~♥ Bafta kimbahku ♥~

Kabir sebuah cinta bukan di hujung pena berdakwat hitam

atau dari bibir yang tiada bertulang
namun bagai jeram yang jujai
tiada kata-kata yang dapat menggantikan
walau jujui sedalam mana
sebuah ikral yang tidak pernah dialpa
walau alun memuncah menghayutkan aku
namun cinta tetap bersemi

Berkilauan bak mutia di lautan dalam
berkandil malam bersuji timbul
berfonem seruling cinta
menarilah di ambum mega

Walau alaf tetap setia dengan aksamku
alkapita disedia buatmu menghampiri
yang dikait benang emas melambangkan cinta batara
agar teguh sebuah ikatan percintaan buat selamanya

Kata bantu :
Bafta - sutera halus
Kimbah - kias
Kabir - nescaya sempurna
Jeram - tak pernah terhenti
Jujai - air terjun sungai
Jujui - tiang yang dicucuk di sungai
Ikral - janji/ sumpah
Alun - ombak
Muncah - puncak/ menara
Mutia - mutiara
Berkandil malam - disinari cahaya purnama
Bersuji timbul - bersulam timbul
Fonem - bunyian
Alaf - jangka masa seribu tahun
Aksam - sumpah
Alkapita - permaidani
Batara - suci

~ Nukilan Pena Ilhamku - kota singa
~ 30/10/2012
~ 07:23 am

Enaknya Mimpi Malam Tadi

Enaknya Mimpi Malam Tadi

Selamat pagi sayang
sang suria melambai hari
di ufuk timur menjelma lagi
di fajar duha leka menari
gemilang bercahaya
jajarnya selari
di celahan dedaunan tingkap ia meresapi
masuknya bahang suci
menyahsilaukan sesawang nyeri
ketika aku keenakan dibuai mimpi
engkau menerpa
bersama kerinduan di hati.

Senyumanmu bagaikan bidadari.

ss/spl/pm ... 30/10/2012.

Inflasi

Inflasi

semakin menjadi-jadi
barang itu ini
harga makin meninggi
pengeluar main tarik tali
guna kuasa memonopoli
pengguna yang makan hati
boleh diserang darah tinggi...

pelarasan gaji
bonus diberi
menambah kuasa beli
tanpa disedari
panawaran dimanipulasi
pihak-pihak yang bernafsu nafsi
mengejar keuntungan dari situasi...

pengguna kena berpengetahuan tinggi
pengguna kena bijak berdiplomasi
guna kuasa majoriti
tidak membeli
menolak yang melampaui
ada berani?
memboikot yang menaikkan harga sesuka hati...

CNM

Khurafat

Khurafat

Mampukah aku?
Melepasi parit air bak kali
yang keruh di permukaannya
keladak di dasarnya
dipenuhi dedaun bunting keladi
yang tiada berbunga sebagai penyeri
menambahkan ngeri di hati
untuk aku melompat, menyeberangi
buat mencari geliga azimat
berbenangkan rindu dendam kesumat
yang berbirat, niat berhasrat
mantara dipanjat
racun berselirat
siku diikat
sendiku berlipat empat.

Hajat berselirat, kurafat.

ss/spl/pm ... 30/10/2012.

~ Wanita Seperti Aku ~

~ Wanita Seperti Aku ~

Bening sepasang mata
seakan ingin meluah kata
namun tak terungkapkan
kerna madah puitis cinta
hanyalah untuk dia yang teristimewa

santun bicara
lembut mempesona
memendam segala rasa
tika suka tika berduka
tetap menguntum senyuman penuh ceria
walau jiwa gundah gulana

wanita sepertiku
menyimpan segala gelora rasa
jauh di relung hati
menyembunyi apa yang dirasai
adakala gerimis bertamu
bertakung di kelopak mata
dan hujan mula turun
tika luka tika bahagia

akuhanyalah wanita biasa
menitip rindu dalam puitis kata
merangkai puisi luahan dari jiwa
walau tidak sempurna
tetap jua ingin memintal untaian bahasa
kurangkaikan menjadi aksara indah
sekadar luahan rasa
untuk tatapan sahabat setia

wanita biasa sepertiku
punya keinginan hati
agar semua yang diimpi
akhirnya akan menjadi realiti
dalam meniti hari
ada ketikanya terkhilaf bicara
tercalar pedih di jiwa
dan kubiarkan saja luka

terubat dengan berlalunya masa

aku hanyalah wanita biasa
sama seperti wanita lain jua
lembut di pandangan mata
namun hati sekeras batu karang di pantai
walau ombak membadai
tetapkan utuh janji setia
hingga ke akhirnya

wanita sepertiku
adakala menahan rasa
saat diri tersisih
merajuk membawa lara
tapi takkan bertahan lama
melihat dari pandangan mata hati
menilai erti makna tersembunyi
namun jauh di sudut hati
tetap dia yang teristimewa
terpahat di lubuk kesuma jiwa…selamanya

~ Tinta Pena ~ Alamanda Desa ~
~ 30102012 ~ 1.10 am ~

Malam Ini

Malam Ini

Malam ini,
kuhelakan nafasku sedalam mungkin,
langit sekitarannya sepertinya gempita,
gempita nan meraikan berita nan gembira.

Malam ini,
hatinya sudah tidak sunyi lagi,
hatinya tidak resah gelisah lagi,
hatinya sangat bersemangat melirik senyum.

Senyumannya nan terpaling manis,
senyuman nan tertulus dari sudut kalbu.

@biNtANg d hAti

Bila Rindu Bernota Lagu

Bila Rindu Bernota Lagu

Esok kita berbual panjang ya sayang!
Pergilah tidur dahulu
rehatkan badan
dan rehatkan mindamu
biar bermulanya hari esok
dengan langkahan sempurna
abang pasti merinduimu
selalu
setiap masa
setiap ketika
dan waktu
sentiasa merinduimu
sayangku
dan tidak akan pernah berhenti
dari merindui kamu,

abang amat menyintai kamu
sayangku.

ss/spl/pm ... 30/10/2012.

~ Mimpi Sempurna ~

~ Mimpi Sempurna ~

kemilau cahaya
terasa suram warnanya
pabila lidah bisu tanpa bicara

terukir puitis kata
pada tiap lembaran kanvas
merangkai indah madah pujangga
merias tulus tinta pena
mengukir sebaris syair
berlagu irama mendayu

mengulit lena beradu
saat terjaga
bebayang wajahmu menjelma
menerjah ruang ingatan
berbisik romantis ke telinga
akurindu padamu sayang

bagaikan mimpi
hadirnya dirimu di depan mata
terlerai segala rasa
terkesima diriku seketika
menatap sinar matamu
tak lepas memandangku
merona tersipu aku malu

~ Tinta Pena ~ Alamanda Desa ~
~ 29102012 ~ 10.40 pm ~
~ Aksara Tinta Pena Pujangga ~

TARI PENAKU

TARI PENAKU

tari penaku seakan mengigil
aksara-aksaraku enggan terpanggil
sebaris demi sebaris enggan terhasil
tak tersentuh rasa hambar tertinta
tak tersampai maksud kelu bicara

tari penaku hilang puitis
ilham rasaku hilang manis
hambar dan tawar
sekian kalinya tari penaku
hilang rentak di lantai kertasnya.

~ Sekadar Catatan TintaMataPena ~
:: AlangEynna::
Oct 29, 2012; 11:02pm

Monday, October 29, 2012

LEMBAH NODA

LEMBAH NODA

Celahan hiruk pikuk
sebalik dinding bertembok
simpang siur membejat nikmat
bawah sinaran kerlipan neon
di dada kota

Lembah noda
membingit gegendang telinga
bersama hidangan alunan muzik keras
liuk lentuk panas mengganas
penangan buih syaitan
diteguk mabuk
hilang kawalan ingatan
hilang pertimbangan kewarasan

Gadis mulus
membujuk
dengan lenggok
dengan jelingan manja
menggoda paksa dan rela
pudarnya iman rebah di pangkuan
separuh pakaian balut sana
sebahagian bukan
umpan sajian

Najis tercipta
sarang lubuk dosa
kumbahan hina lalai leka
bukan salah sesiapa
individu keliru
buntu
hilang arah tuju.

YHI
Segamat Johor
29102012

MUNCUL LAGI

MUNCUL LAGI

Baru semalam aku pergi
Pergi bersama hati yang sepi
Sepi di hujung lubuk hati
Hati nan penuh kendiri

Hari ini
Aku menapak lagi
Mengukir kata di tinta hati
Menitip kata bak puisi

Aku muncul lagi
Muncul bersama hati yang peri
Menitip kata di ruangan ini
Ruangan untuk pemuisi

Dan esok hari
Seandainya aku pergi lagi
Bukan kerana merajuk hati
Bukan jua patah hati
Tapi aku pergi
Pergi mencari jati diri
Pergi meredah idea hakiki
Untuk kucoret di sini lagi

Aku akan muncul lagi
Bersama puisi yang tak reti
Usah senyum, usah perli
Kerana aku sememangnya begini
Bak biskut Chipsmore ini
Hari ini ada, esok entah ada lagi

~SA~

Kesinambungan Hidup Harus Diperjuang



Pepohon tumpang
rimbun tidak merendang
anggun tidak terpegang
tinggi di awang-awang
hidup sentiasa menumpang
ihsan diberi, bukannya kepalang
di mana jatuh, di situlah berkembang
di pepohon ataupun bumbung mengganang
dibawa angin benihnya dilayang
menjadi kekuatan sebagai lambang
betapa hidup sentiasa berjuang
selagi bernyawa haruslah dijulang
jangan mengalah walau rintangan menghalang
menongkah arus hendaklah dibuang
biar menjadi akar dari benih seorang perjuang.


ss/spl/pm ... 29/10/2012.

ILHAMKU DI SUDUT INI



Di sudut ini
ilham kucurah
mengolah baris-baris kata
dan kuterjemahkannya
dalam bait-bait puisi
dengan sedikit bakat
yang dianugerahkan olehNya.

Di sudut ini
kuluahkan semua rasa yang ada
Yang hakiki
maupun sekadar berilusi
atau sekadar bercerita
tentang alam…tentang cinta
tentang segalanya.

Qalam Bertinta
28102012
2119pm

♥ ABANG SUAMIKU ♥

♥ ABANG SUAMIKU ♥
jiwa raga Anna tidak goyah
ikatan janji Anna pada Abang
walau ada benci
pada mereka yang cuba memisahkan
Hati Anna pasti hatimu Abang ...

~ Kasih Terlerai, Terbiar Sepi ~

~ Kasih Terlerai, Terbiar Sepi ~

Tika desahan jiwa merintih
pilu, lesu kebisuan
tergamam daku tika saatnya
runtuhan kalbu
mencarik duka nestapa

Sayap panjiku patah
rimbunan dedaunan rindu
tiada lagi di perdu jiwa
hancur berkecai
punah mencengkam

Biasan kelu
melakar dinding sepi
hembusan kasih
yang dulunya indah
kini menjadi abu

Deraian airmata
hanya itu yang kumampu
remuk redam
hatiku terhiris
dengan ungkapan bisamu

Lembayung rindu yang
dulunya indah di matamu
kini anggapanmu
menyusahkan, tatkala
diriku masih perlukan dirimu

Terlontar, tercampak dari sisimu
bagaikan tak berharga lagi
dengan mudahnya dikau
melangkah pergi
tanpa menoleh lagi padaku
yang tersepuk di serambi
cinta terluka...

'Kasih Terlerai, Terbiar Sepi'...tiada noktah terakhir lagi...

29hb Oktober 2012 Isnin
4.20pm
cahayanurqalbi

Jangan

Jangan

Jangan berkelahi dengan perigi
nanti haus dahaga sehari

Jangan disisih cahaya rembulan
malam gelap tanpa sinaran

Jangan meniti jambatan pelangi
kecundang nanti merana diri

Jangan ditadah kasihnya embun
hilang di mata hati meruntun

Jangan belayar tengah gelora
kapal karam lemas nakhoda

Andai …
Di laut sanggup diselam
dikutip mutiara sebalik tiram

Digapai sinar mentari
terpancar ilham minda jauhari

Senyuman menghiasi wajah,
penawar nurbisa hati yang resah

Dirimu mencintai buku,
lembaran dibelek gedung ilmu

Hidup banyak bersyukur,
rezeki bertambah imannya subur.

YHI
Segamat Johor
29102012

DI MANA ADA KEMAHUAN

DI MANA ADA KEMAHUAN

Kubelek diari semalam
Catatan sebuah kehidupan
Bangun rebah dalam perjuangan
Meniti ranjau cabaran

Dari sebuah desa terpencil
Menggalas beg sandang di belakang
Berbaju-T, berseluar lusuh melangkah lemah
Menyelusuri perut kota bersama sekeping sijil cuma

Terpinga celaru dan canggung
Bagai rusa masuk kampung
Turun naik pejabat gedung
Melamar kerja kosong

Di sebuah kedai cuci kereta
Bersama kesungguhan dan usaha
Saban bulan mengumpul dana
Mengikat perut terpaksa

Kerana gigih
Berusaha dan berlatih
Tidak kenal perit dan letih
Kedai cuci diambilalih

Daya saingnya tinggi
Pelbagai bidang diceburi
Perusahaan besar teknologi tinggi
Berkembang pesat dalam dan luar negeri.

Graduan menganggur jangan segan
Di mana ada kemahuan
Di situ ada jalan.

YHI
Segamat Johor
29102012

Muka Buku

Muka Buku

dalam muka buku
boleh dapat banyak ilmu
elak dari hal merapu
tentu bertambah mutu...

dalam muka buku
boleh kita jumpa tanpa bertemu
berkongsi idea-idea baru
pengetahuan bertambah jitu...

dalam muka buku
boleh isi ruang dan waktu
tidak jadi orang dungu
tak tahu menahu era dunia baru...

dalam muka buku
ada banyak juga hantu
mengambil kesempatan menipu
mereka yang tunduk pada nafsu...

dalam muka buku
kena pandai pilih bulu
kalau tak haru biru
jadi mangsa teknologi baru...

CNM

KESETIAAN

KESETIAAN

Kesetiaan itu pautan hidup
segala kemanisan dapat dihirup
rasa bahagia datang menyusup
laksana bernaung di bawah redup.

Jangan mudah menabur janji
jika sukar untuk menepati
jadikan itu amalan murni
bila berjanji tidak mungkiri.

Janji setia biar berpada
jangan sekadar berkata-kata
usah manis bibir menggoda
sedang hati berbaur dusta.

Bila janji dihambur-hambur
hendaklah niat berhati jujur
bagai jarum dengan jelujur
sentiasa bersama setia dan akur.

Setia itu ukuran peribadi
mulia hatinya umpama sendi
bila bermadah berhati-hati
dapatlah kasih memberi erti.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak.
29 Oct 2012
1.34 pm

Mendakap Pilu

Mendakap Pilu

Bumi memuntahkan isi
isi memakan nurani
nurani dibelai mimpi
mimpi di hujung masa
masa mual dek rencana
rencana manusia tiga suku
suku mendakap pilu.

Tabir Khaizuran
29102012 1032
DCA Subang

Setia Mentari

Setia Mentari

Mungkinkah?
Akan terbit mentari
esok hari
bersama sinaran suci
di hati
bercahaya melimpahi
alam pagi tidak dibatasi
dan ilusi lenyap menyepi
imaginasi ditembusi
anganan dibolosi
fantasi menjadi realiti
igauan berlari
engkau berteleku di serambi
menangis, menemani
ketika mataku yang dibiusi
fatamorgana melali
pesona duniawi
hilang dan mencelikkan kebutaan nyeri
cahaya kebahagiaan kembali.

Seperti setianya mentari pagi.

ss/spl/pm ... 28/10/2012.

Galeri Mimpi



Mampukah aku miliki?
Mentari setia kepada paksi
berbakti tiada berbelah bahagi
di ufuk timur terbitnya pagi
dan terbenam kembali di ufuk barat
bila senja mula berbirat
sentiasa berbudi tiada bersyarat
alam dan fauna
juga manusia
sedang leka
asyiknya menggeliat belikat.

Atau!
Mungkinkah aku hanya mampu bermimpi?
Di dalam galeri
letaknya
di sudut paling tepi.

ss/spl/pm ... 29/10/2012.

ketika fajar mengucup ubunmu..

ketika fajar mengucup ubunmu..

detik demi detik dalam kata-kata
menyusup ke dalam relung dada
menyusup lewat tatap matamu
yang rindu bicara agar cinta tak habis
agar ghairah tak habis
agar mimpi-mimpi tak habis
agar abadi laksana mimpimu

embun dingin subuh membasahi dedaunan
ketika fajar mengucup ubunmu
mencium keharumanmu lagi segarlah
walau ubun-ubunmu masih terasa pening
sembari mengerjapkan kelopak mata
percikan air wudhu di kala lelapnya fajar membuai
sirnakan keraguan terhadap fajar yang pasti datang

~amran azahari~
29 Okt 2012 - 06:30am.

~ Cinta Dakapan Sendu ~

~ Cinta Dakapan Sendu ~

Di pepohonan cinta sendu
merungkai redup rindu
tika jambangan kasih
berkembang di taman
cinta sejati

Rimbunan kasih syahdu
kauhulurkan, tika daku
masih terluka cinta
semalam, dikau hadir
membalut piluku

Titisan embunan cinta
di pelupuk rindu, mendakap
gema kasih sayang
dikau susuli dipenjara
kamar hati

Di puncak gema kasih
bersenandung irama
sayu, renungan cintamu
mengubati kalbu suram
yang tiada sinarnya

Anganku yang dulunya
kelam, dikau pancarkan
dengan cinta suci
di lubuk hatiku
terpahat sanubari

Kini jelas rembulan cintamu
menyelubungi aksaraku
membelai angsana kasih
di persada kesetiaan
yang dikau berikan

Pintaku hanya satu
andainya cinta diduga
tabahlah bersamaku
mengorak langkah
menyemai benih-benih kasih...

'Cinta Embunan Suci'...utuhnya kekuatan kasih dari jiwa yang tulus...

29hb Oktober 2012 Isnin
5.24am
cahayanurqalbi

~ Dilambung Rindu, Luka Hampiri Jua ~

~ Dilambung Rindu, Luka Hampiri Jua ~

Di lautan rindu mengusik asyiknya
mengimbau kenangan
terpahat dalam hati
yang masih suram
dipukul ribut bayu

Bersepai kasih digelangi
cinta palsu, berpapahkan
tongkat rindu, punah jua
dipijak kejam, terumbang-ambing
diabai tiada perikemanusiaan

Kaurebah jua dalam dugaan
membisik sepi berkalamkan
dusta, retak belahan jiwa
terlontar di perbatasan
bicara menghiris hati

Dipenjara bayang-bayang
sendiri, menongkah
redupan senja, yang kian
meniti, larutnya malam
tinta kecelaruan

Di saat cinta bergendang
indah, dirasukkan belaian
usapan, menghembus
panji-panji rindu
di kamar hati kelam

Kini semuanya bagaikan
mimpi buruk, menyelinap
gedungan kasih, terlerai
jua lantera rindu
yang menggebu

Pergilah sayang
keegoaan merantai
benak hatimu
hingga buta hati untuk
menilai yang mana
kaca dan yang mana intan...

'Dilambung Rindu, Luka Hampiri Jua'...merobek ketulusan suci...

28hb Oktober 2012 Isnin
4.02am
SNQ

Tak ingin kuucapkan selamat malam...

Tak ingin kuucapkan selamat malam...

Tak ingin kuucapkan selamat malam
buatmu dan diriku sendiri
di sini pertemuan dan perpisahan
mencatatkan kisahnya sendiri
malam menghambat kenangan
hingga ke pinggir pagi

Tak lupa segala ingatan
mendayu merayu
menderaikan segala
ingatan seperti tangis yang dirindukan
dan tawa seperti kutemu di matamu
debar di dadaku

~amran azahari~
29 Okt 2012 - 02:30am.

SENYUMUMAN

SENYUMUMAN

berikan aku sebuah senyuman
sebelum terbitnya segunung kemarahan
berikan aku sepotong senyuman
sebelum kamu korbankan
sebuah senyuman nilainya tidak terhitungkan
kepada yang tidak
memerlukan
dan tidak pun tahu erti
nilai sebuah
senyuman
yang
selalunya
bermilik dan bertuan.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Mersing,Johor.
291012@0213hrs(Isnin).

~ Ceritera Lara dan Airmata ~

~ Ceritera Lara & Airmata ~

Khabarkan padaku
tentang gelora rasa
berhujan merintih
bibit-bibit ceritera lara
berbisik senandung mendayu
meratap hiba
luruh jua akhirnya

gerimis di hati bertamu lagi
tersedu menahan ombak pilu
bergenang kelopak mata
menahan sebak di dada
menghiris segala rasa

tika sepi berlabuh
jendela hati kian tertutup
rajuk hati pedih
seolah merangkai kabus
berbayang syahdu langit kelabu
tanpa bintang mengerdip

cukuplah ungkapan kata
pada riak wajah suram
terbit sendu di penghujung sketsa
dan langkah kian laju
tinggalkan segala
ceritera luka dan airmata
di panahan gejolak rasa
pedih, sayu dan hampa

relakan sepi
mengintip relung kesuma pilu
lirih meruntun kalbu
merintih dalam tangisan
sayu menahan perasaan
dan biarkanlah aku di sini
merenungi ke dalam diri
menyendiri sendiri

~ Tinta Pena ~
~ 24102012 ~ 1.15 am ~
~ Aksara Tinta Pena Pujangga ~

Setia Mentari

Setia Mentari

Mungkinkah?
Akan terbit mentari
esok hari
bersama sinaran suci
di hati
bercahaya melimpahi
alam pagi tidak dibatasi
dan ilusi lenyap menyepi
imaginasi ditembusi
anganan dibolosi
fantasi menjadi realiti
igauan berlari
engkau berteleku di serambi
menangis, menemani
ketika mataku yang dibiusi
fatamorgana melali
pesona duniawi
hilang dan mencelikkan kebutaan nyeri
cahaya kebahagiaan kembali.

Seperti setianya mentari pagi.

ss/spl/pm ... 28/10/2012.

WAJAH CERMIN RETAK SERIBU

WAJAH CERMIN RETAK SERIBU

Wanita adalah jiwa kisah cinta
Ada aura bertaup di rupa
Jernih sebening tabir senja
Antun seindah pelangi aneka warna
Harumnya bagai kesturi digambarkan di syurga.

Cinta adalah milik sejati bagi wanita
Erat sungguh kalau ia bermain asmara
Restu ada dalam setiap rindunya
Merumus segala cita dan rasa
Impian setiap wanita wajah ayu sempurna
Namun itu segalanya lembah lemah dan pura.

Rupa dan paras tidaklah menjadi soal
Elok perangai itu sudah afdal
Tanamkan nilai harga diri seperti tidak menonjol
Adab dan perangai baik mesti dari yang setimpal
Kelak nanti diri disorak tiadalah menyesal.

Sang wanita adalah pujangga cinta
Enggan tidak bererti tiada mahu
Rajuk adalah ramuan keindahan bebel wanita
Ibarat aur dengan tebing selalu beradu
Berjarak berpisah tiada jua
Urai ayu wanita tercalar di cermin retak seribu.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Mersing,Johor.
291012@0212hrs (Isnin).

Bukan Aku Pinta


Coretan Lewat Malam...

Coretan Lewat Malam...

Germersik angin malam
berhembus lembut
menarikan dedaun cemara
lantas kutelantarkan asaku
saat mencoba mengikat makna di hatimu
mungkin aku gagal dalam mencoba

Pernah kugoreskan rasa kecewa
sebaris duka
dan segelintir tangis
yang berlubuk di dalam jiwa
aku terus mencoba melukiskan bahagia
memahat tawa
dan mengukir cinta
demi menebus semua salah
yang pernah menghentikan langkahku
untuk menggenggam kesempurnaan bersamamu

Di setiap mimpiku
kauhadir dengan sejuta senyuman penuh makna
membuat rindu selalu menggoda rasa
merusuh harap yang menggebu
merintih dalam kalbu
membiru
bila tiada mendalam cinta dan kerinduan
takkan terlalu dalam luka yang kaurasakan

~amran azahari~
29 Ookt 2012 - 12:06am.
10pp

memohon maaf itu sungguh mulia, memberi maaf itu teramat mulia.

CNM

RISAU

RISAU

Risau
Sangat risau
ada dia terperangkap memandu dalam hujan lebat
moga dipermudahkan.

.
Angah Arie

Laut Kasih 233

Laut Kasih 233

kerana laut kasih
yang telah engkau limpahkan
aku berjanji
akan sentiasa menjagamu
selagi ada hayat ini...

CNM

Ada Sebuah Taman

Ada Sebuah Taman

Ada sebuah taman,
indahnya tidak terperi,
dihiasi bebunga dan serangga.

Tamannya penuh warna,
penuh irama merayu mesra,
tiada lagi sepi duka.

Penghuninya seorang teman,
teman nan ada taman,
dan teman sipemilik taman.

@biNtANg d hAti

" Selagi hayat dikandung badan "

" Selagi hayat dikandung badan "

~ Keriuhan,
tidak lagi mengisi segenap ruang
tiada lagi sempadan dan prasangka
bila malam menjemput pejam
mata-mata keras menjadi lemah
lalu tewas pada lelap hingga ke mimpi
menanti pagi dijemput mentari
untuk ke tugasan yang menanti.

Waktu akan sering silih berganti
untuk kembali mencari sesuap rezeki
sehinggalah jasad dijemput Illahi.~

~ Rusie ~

melati oh melati

melati oh melati

bila melatiku menyepi
aku nanar sendiri
dalam sepi yang tiada hujung
rindu bergumpal-gumpal
berceratuk di reranting
kadang ia mengharum
melalaikan
ketika juga membusuk
menekup hidung

kuntum melati yang layu
kering tanpa bau
terkulai tanpa seri
memandang pun tidak sudi
berbirat-birat di hujung dahan

Perempuan Palsu



geli aku
melihat lengguk tak menentu
sekejap lemah lembut macam ratu
sekejap keras pejal macam batu
keliru...

perempuan palsu
badan pejal hati tisu
kembalilah ke asal kejadianmu
hidup dalam restu
tak terkeliru...

CNM

Lelaki Ini

Lelaki Ini

sahabat
apakah kamu
menyedari bahawa
bayangan lelaki ini
yang sentiasa ada di sini

sahabat
apakah kamu
merasakan bahawa
bukan hanya dirimu
memberi waktu bertamu di sisi lelaki ini...

sahabat
apakah kamu
mengetahui bahawa
nukilanmu dihargai
oleh seorang lelaki ini...

CNM
10PP
Sebatang pena kertas kosong,
hati bingung termenung,
tersentak jantung,
murung.

yhi28102012-2150

Aku Tiada Jawapannya

Aku Tiada Jawapannya

Usah ditanya
mengapa aku menyayangi
kerana aku tak tahu
apakah jawapan yang harus aku beri
dan usahlah kaubertanya
mengapa aku mengasihi
akan dirimu
yang baru aku kenali
kerana kutak tahu
bagaimana harus aku jelasi
perasaan itu
terdetik
dari kalbuku yang suci,
cuma yang mampu aku katakan,
itu semua kuasa Tuhan
yang mampu memberikan
dan menariknya
sekelip mata yang Dia mahukan.

Kun kataNya Fayakunlah jadinya.

ss/spl/pm ... 28/10/2012.

Dalam Stadium

Dalam Stadium

aaa! air, air
kacang ada
jagung ada
burger ada
epal hijau pun ada.

aaa! air bang, air...

CNM

Cinta Berbilas

Cinta Berbilas

andai kaumiliki cinta berbalas
pastikan ia berbilas
suci dan ikhlas...

andai kaumenempuh cinta tak berbalas
pastikan ia dilepas
tarik diri lekas
sebelum terbabas...

CNM

Sunday, October 28, 2012

Celoreng


Senja Kembali Lagi

Senja Kembali Lagi

Senja kembali sunyi menanti
sesekali terdengar unggas bersuara, menyanyi
bermelodikan sisa lagu keluhan di hati
seharian kepenatan lekanya menari
di awan biru, di langit yang tinggi
berutinkan tuntutan alam yang telah azali
mengikut gerak hati yang diwarisi
yang masih lagi kita selidiki
masih tidak kita fahami
masih tercari-cari
jawapan yang sememangnya sentiasa ada di sisi,

itulah tuntutan Ilahi.

ss/spl/pm ... 28/10/2012.

Rindu Membakar

Rindu Membakar

rindu membakar
setelah kaumenjanjikan kebahagiaan
namun kauperolokkan dengan gurauan berbisa...

rindu membakar
setelah kaumenjanjikan kesetiaan
namun kaupersendakan dengan sandiwara durjana...

kauhulurkan dahan rapuh
yang kautahu aku tak bisa berpaut
menyalakan rindu...

CNM

aku pasti

aku pasti

tiada siapa yang mampu
membaca ayat-ayat pada kelir hati
yang terpamer di kamar sukma
melainkan terpamer
dek ukiran air mata pada wajah
dek lakaran senyuman di bibir.

senyum dan tangis bahasa jiwa.

CNM

SANDARKAN SEMUANYA KE DADAKU

SANDARKAN SEMUANYA KE DADAKU

Sandarkan resahmu ke dadaku
ceritakan padaku tentang sedihmu
beritahu aku tentang luka hatimu
aku akan mendengarnya
lalu memujukmu.

Sandarkan pilumu ke dadaku
ceritakan padaku tentang kecewamu
Beritahu aku resah jiwamu
aku akan mendengarnya
lalu memujukmu.

Sandarkan cintamu ke dadaku
ceritakan padaku tentang bahgiamu
beritahu betapa istimewanya aku di hatimu
aku akan mendengarnya
sambil mengusap wajahmu
lalu memelukmu.

Qalam Bertinta
28102012
1217pm

MEMBUGAR KELESUAN

MEMBUGAR KELESUAN

Mengalir deras
dari puncak pergunungan semangat
mengetuk lembah jiwa
bangsa berdaulat
bangsa merdeka minda
hehujanan seruan
menyirami pepohon bahasa
menyegar akar yang berlingkar
dedahan dan reranting budaya bangsa
menyelusupi lelorong menara istana
pada tampuk kuasa
pada marhaen desa kota
gagah segak
pantas gerak nakhoda budaya
di pentas perdana
bersemuka
media elektornik dan tulisan karya

yang lena diulit mimpi
disuntik tenaga semangat bara
menyusun saf tindak gerak
membugar kelesuan
sebuah warisan

canai gilaplah permata kelam
biar bersinar bak permata nilam
dalam tekad dan azam
tarian yang seragam
bukan suram
dalam diam

bangkitlah bangsaku
kalungkan bahasa di istana ratu
bersatu bersatu
dalam perdu bersepadu

YHI
Segamat Johor
29102012

BIARLAH RAHSIA

BIARLAH RAHSIA

Keheningan malam yang dingin
menyejukkan hati yang membara
pada kerinduan yang sering menerpa
mungkinkah kau juga turut merasakan
berdepan dengan perasaan yang menyesakkan
antara mimpi dan kenyataan
kepayahan jiwa meluahkan kata
seringkali mencetuskan bicara sengketa.

Bukan niat untuk menjauhkan
gurauan mesra bermain di fikiran
menghiris perasaan dalam tangisan
menyedarkan aku dari lamunan
kita berbeda langkah dan tujuan
kasih dan sayang mempertahankan
bara cinta yang mengasyikkan.

Semakin hari cinta mengharum
semakin pudar kepahitan lalu
namun masih ada mengharapkan
dalam diam ada bayangan yang datang
mencari secebis kasih dan sayang
damai ketenangan di syurga impian
dan kisahku yang masih panjang
kau biarkan jauh terpendam
lalu kuputuskan biarlah rahsia
kerana tiada penghujung ketenangan jiwa.

Amirah Amir
28102012 2.05pm

Rindu Bersatu

Rindu Bersatu

saat kubuka jendela waktu
terpampang di mataku bingkisan rindumu
menggegarkan seluruh kalbuku
akan kerinduanmu itu
sehingga tak mampu lagi aku
menahan gelora asmara yang padu
mengharapkan kamu segeralah kedakapanku
akan kukucup bibir gebumu
seghairah semahunya aku.

aku amat merindui dirimu sayangku,
'i love you'.

ss/spl/pm ... 28/10/2012.

~ Rindu Dendam, Hati Tercalar ~

~ Rindu Dendam, Hati Tercalar ~

Retak seribu palungan kasih
tika ombak tsunami merentap
ranap segala impian yang terbina
di batas-batas cinta
yang dulunya suci

Di pusara rindu bersemadi
getar tubuhku rebah jua
di riba luka munusuk
belati hati yang rapuh
terkulai akhirnya

Pergilah jauh bayang
kasih, tak rela termanggu
sepi, sedih diintai
kenangan pahit
menerjah kalbuku suram

Di lautan cinta berduri
punah segalanya
reput rindu dilambung
duka nestapa yang
menggores pilu

Sayap kasih remuk
panji rindu runtuh
tika cinta palsu
berseloka megahnya
di ranjang kejam...

'Rindu Dendam, Hati Tercalar'...luka semalam...

28hb Oktober 2012 Ahad
1.35pm
SNQ