Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, February 17, 2013

SYAIR-MAJLIS BERSANDING

SYAIR-MAJLIS BERSANDING
[khas buat bakal pengantin]

Intai bebintang dapat kejora,
diselam tiram dapat mutiara,
petik kembang dapat bunga,
di sudut hati berbunga cinta.

Tepak sireh menjunjung adat,
dalam majlis memaknai hajat,
sudah termeteri kata sepakat,
hubungan intim terjalin erat.

Sudah dilamar kasih bercambah,
usah lambat mengundang resah,
eloklah bersegera diakad nikah,
jumpa tok kadi jangan berlengah.

Cincin disarung di jari manis,
senyum ceria wajah terlukis,
gembira bonda hingga menangis,
sambil mengucup mawar direnjis.

Majlis diseri pengantin bersanding,
sabahat kerabat berserta mengiring,
kerenah mempelai suka menjeling,
cerianya hadirin gusinya tak kering.

Berinai sudah bersanding sudah,
tetamu dijamu pelbagai juadah,
pulut kuning daging berempah,
menjilat jari sedikit tak tumpah.,

Mempelai diarak keliling kota,
duduk berganding dalam kereta,
tangan dilambai senyum merata,
perasaan girang tidak terkata.

Majlis terindah dalam kenangan,
moga bahagia sepanjang zaman,
impian sudah menjadi kenyataan,
berkasih sayang mengukuh ikatan.

yahyaisa
Segamat Johor
13022013

No comments:

Post a Comment