Followers

Carian Dalam Blog Ini

Friday, October 26, 2012

SIMETRI

SIMETRI

"Kenapa awak suka sangat letak lambang 'smiley' pada setiap surat dan sms awak?" tanya dia.

Satu ketawa kecil tercetus dari bibir. Sudah terlalu ramai bertanyakan soalan yang sedemikian.

Pada saya, membaca mesej tidak sesekali sama dengan situasi ketika berbual. Sebaik sahaja usai menulis, jejari berhenti menaip, butang 'send' atau 'post' ditekan, sebuah catatan bisu (tanpa sebarang lengok bahasa) akan terpampang di skrin penerima.

Adakala ayat yang saya rasakan biasa saja, mungkin nadanya beralun sinis bagi mereka yang membaca. Adakala bila saya mengusik, ada yang tersalah erti menganggap ianya serius.

* Awak sibuk?
+ Sibuk sikit malam ni

Serius? Tak mahu diganggu?
Kalau yang bertanya dan yang ditanya ada si depan mata, tentu sahaja masing masing boleh menangkap dan menyelak maksud di balik tirai kata dengan memandang riak wajah atau mendengar nada suara.

Lantas, untuk selesaikan sebarang kemungkinan wujudnya salah faham, saya gunakan lambang 'smiley' dalam setiap urusan tidak rasmi.

Beberapa variasi penggunaan lambang 'smiley' untuk melahirkan rasa hati:

* Awak sibuk? :) (bertanya dengan nada gembira / manja )
+ Sibuk sikit malam ni. :) (Ye, sibuk. Tapi saya cuba luangkan juga masa untuk awak ♥)

* Awak sibuk? :) (bertanya dengan nada gembira / manja )
+ Sibuk sikit malam ni. ;D (Ye. saya sibuk dan awak jangan tanya sebab apa. ahakks)

* Awak sibuk? :'( (bertanya dengan perlahan/ terasa diri terpinggir/ sedih/ )
+ Sibuk sikit malam ni. :{{ (Ye. saya sibuk. Jangan ganggu boleh.)

Sejajar dengan dunia serba moden di mana insan bergegas mengejar masa, penghantaran mesej jadi lebih pantas dan ringkas. Namun, awak, saya, kita, mereka, masih entiti yang berlainan.

Bukankah pepatah selalu mengatakan 'Rambut sama hitam, hati lain-lain'. Lidah juga pasti akan tergigit.

Saya menyambung kembali perbualan kami:

" Saya guna 'smiley' senyum bila saya gembira. 'Smiley' sedih, bila saya sedih dan... '

Tanya dia sambil tersenyum: "Dan.. ?"

Kata saya seraya ketawa: "Dan sudah tentunya 'smiley jelir lidah' , bila saya mengusik awak."

Saya cukup suka membuat orang lain senyum dan ketawa. Adakalanya, saya lihat orang di sekeliling terlalu serius.

Adakalanya mungkin ada di antara mereka yang dibebani tugasan pejabat yang membukit serta masalah keluarga di rumah. Lantas, apabila saya mampu, saya cuba menjadi seorang penglipur lara, menyeluk ke dalam poket ajaib penyimpan ilham, lantas melakarkan nukilan-nukilan ringan pencuci minda di penghujung hari.

Ibarat memandang diri di cermin, ianya simetri. Senyum mereka, senyumlah saya. Ketawa mereka, ketawalah juga saya. :) :)

-LM 25102012-

No comments:

Post a Comment