Followers

Carian Dalam Blog Ini

Thursday, October 4, 2012

SARUNGKAN KAKIMU KE KASUTKU

SARUNGKAN KAKIMU KE KASUTKU

Huluran salam cintamu
Kusambut dengan doa kecintaanku kepada ILAHI
Kita pun meniti batas-batas kasih sayang
Bertunjangkan agama dan adab

Telah kauanyam jalinan-jalinan kasih
Di hatiku yang kosong tiada berpenghuni
Kausisipkan kata-kata
Setiamu tiada akhirnya
Telah kaubajai taman hati ini
Dengan kalammu yang lunak
Harum bak bunga kembang pagi
Menebarkan wangian
Ke segenap alam buana
Riang bak kicauan burung
Asyik dan terusik

Telah kauberikan kendi harapan
Untuk diisi janji hati
Akulah bidadarimu
Bersama menyulam cinta hingga ke Syurga
Telah kaupayungi jiwa kecil ini
Dengan kasihmu tiada bertepi
Qasadmu memuliakan diriku
Sebagai surihati

Hening subuh itu
Usai kalimat-kalimat doa
Perkhabaran duka apakah itu
Tertusuk belati tajam
Merobek-robek hatiku
Melapah kepingan-kepingan kepedihan
Seolah terhenti nafas
Sakit kepalang tanggung
Lumpuh seluruhnya
Tiada mampu kugerakkan
Hatta sekerdip mata

"Ampunkan aku tidak dapat membahagiakan hidupmu. Aku hadir hanya seketika cuma tetapi membawa kamu ke dunia sengsara sepanjang masa. Aku kesal.
Ampunkan aku kerana berlaku zalim atas kesetiaanmu. Dosamu tiada terhadapku tapi aku yang tidak layak untukmu.
Ampunkan aku kerana tidak dapat menjagamu. Aku kesal kerana terpaksa melukakan hati gadis sebaik dirimu"

Sarungkan kakimu ke kasutku
Akan kaujejakki
Dasar hati
Empangan sudah tidak mampu
Merembeskan manik-manik mutiara
Yang kau tinggalkan
Hanyalah duka dan luka

~Aniyus~
~teratak nak roboh~
04 Oktober 2012

No comments:

Post a Comment