Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, October 21, 2012

MASIHKAH ENGKAU INGAT

MASIHKAH ENGKAU INGAT

Masihkah engkau ingat
Kita bersama berlarian di tebing Sungai Pahang
Panas kaki memijak pasir tiada dihiraukan
Mencari udang galah di jamban buluh
Dan Abang Setapa pun menjerit-jerit
Kitapun lari bertempiaran

Masihkah engkau ingat
Kita merayau-rayau di ladang getah
Mengutip biji-biji getah yang terdampar
Di bahu menggalas seberkas kayu api
Untuk bonda gunakan ketika memasak
Sambal rom biji getah kita
Selebihnya kita gunakan buat bermain congkak

Masihkah engkau ingat
Tatkala hujan malam turun
Esoknya kita berlari-larian
Ke kebun getah mencabut kulat taun
Yang tumbuh melata
Bonda pun memasak tumis air
Enaknya masih terasa

Masihkah engkau ingat
Kita menyusuri sungai berbatu
Mencari anak ikan dan udang
Asyik hingga ke pinggir hutan
Menyeluk ikan potok di sungai lumpur
Bertempiaran lari terpegang kepala ular
Alahai... belut rupanya
Jingga menyapa baru pulang
Ayah menanti bersama roti panjang

Masihkah engkau ingat
Kita memetik biji-biji gajus
Lalu dibakar bersama api tempurung
Beralaskan tudung periuk bonda
Rasanya lemak-lemak enak sekali
Tapi sayang mulut melepuh kerana getahnya

Masihkah engkau ingat
Kita berjatuhan di batu licin
Mengutip siput-siput sedut
Yang melekap di dinding batuan
Pulang nanti bonda masakkan lemak cili api
Lazatnya tiada terhingga

Masihkah engkau ingat
Kita berkubang di Sungai Tonggek
Persis anak ikan yang riang berenangan
Sungai pun bertukar seperti teh susu
Lintah pun mengamuk
Tak cukup kaki berenang memanjat tebing

Masihkah engkau ingat
Tatkala maghrib menyapa
Kita pun menyalakan sumbu pelita
Usai mengaji kita pun leka bermain
Bayang-bayang tangan dengan aneka rupa

Masihkah engkau ingat
Ketika musim pejur
Kita pun mencabut seluar katak
Riang tetawa membasahi diri di salur atap
Dan menghanyutkan kapal kertas

Masihkan engkau ingat
Akan semua itu
Kenangan rapi tersemat
Di jiwa balduku
Aku rindu
Arghhh..... rindu lagi


~ aniyus ~
21 Oktober 2012
~dalam ketersendirian ini aku merindui semua itu di ~ teratak nak roboh ~

No comments:

Post a Comment