Followers

Carian Dalam Blog Ini

Friday, August 24, 2012

HARIRAYA AIDILFITRI (4)

Riuh gamat si anak kera|
sabut di paya timbul tenggelam
seluruh umat riang bergembira
sambut raya bersembah salam.

Sabut di paya timbul tenggelam
lada dikerat ditumbuk lumat
sambut raya bersembah salam
tanda muafakat antara umat.

Lada dikerat ditumbuk lumat
di pinggir sawah tertanam selasih
tanda muafakat antara umat
indahnya ukhuwah jalinan kasih.

Di pinggir sawah tertanam selasih
ikan selangat sukar dimamah
indahnya ukhuwah jalinan kasih
semarakkan semangat perpaduan ummah.

Ikan selangat sukar dimamah
selami segara lautan dalam
semarakkan semangat perpaduan ummah
harmoni negara kekuatan Islam.

Selami segara lautan dalam
unggas hinggap di pohon sena
harmoni negara kekuatan Islam
Aidil Fitri memberi seribu makna.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
24 Ogos 2012
4.02 pm.

No comments:

Post a Comment