Followers

Carian Dalam Blog Ini

Wednesday, August 22, 2012

HARIRAYA AIDILFITRI (2)

Rosak kelapa bila terendam
tinggi pohonnya nampak berbalam
kasih bapa sering terpendam
namun cintanya tetap mendalam..

tinggi pohonnya nampak berbalam
air melimpah sebak di perigi
namun cintanya tetap mendalam
kasih tertumpah tidak terbahagi.

Air melimpah sebak di perigi
kail gelama dimakan belanak
kasih sayangnya tidak terbahagi
adil saksama antara anak.

Kail gelama dimakan belanak
nelayan memukat dihujung tanjung
adil saksama antara anak
melayan keluarga yang datang kunjung.

Nelayan memukat di hujung tanjung
pohon rambutan di tepi paya
kaum keluarga sama dikunjung
mesranya ikatan di hari raya.

Pohon rambutan di tepi paya
mengail keli di tepi titi
mesranya ikatan di hari raya
Aidil Fitri memberi erti.

Mengail keli di tepi titi
bawa bekalan belimbing segi
Aidil Fitri memberi erti
di tahun hadapan berjumpa lagi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
22 Ogos 2012
8 .18 am

No comments:

Post a Comment