Followers

Carian Dalam Blog Ini

Loading...

Sunday, October 13, 2013

Tertanya-tanya...

Tertanya-tanya...

Suatu ketika dulu
Sepurnama menerima nikahmu
Menguli sayang mengadun kasih
Membakar cinta
Segalanya indah di ranjang baldu
Yang kasar nampak licin
Yang kalut nampak tenang
Yang hitam nampak cerah
Yang rongak nampak penuh
yang pesek nampak mancung
Yang sepet nampak bundar
Yang lurus nampak ikal
Yang kelat nampak manis
Yang kengkang nampak lengguk
Yang tegap nampak lembut

Semua berlawanan
Janjimu terima seadanya
Indahnya menanam tebu di tepi bibir

Sejak bila
Aku tidak perasaan
Bila hatimu terbelah dua
tiga mahupun empat
Yang berlawanan menjadi seerti
Setelah manis tebu menjadi hampas

Aku ke kiri engkau ke kanan
aku ke belakang engkau ke depan
Aku ke atas engkau ke bawah
Aku di pangkal engkau di hujung
Aku ke hulu engkau ke hilir
Aku senyum engkau muncung
Akhirnya jalanan kita bersimpang siur
Bersimpul mati di hujung jalan

Dalam senyum riak tenang
Kertas merah jambu
Telah lama kutandatangani
Halalkan belahan hatimu itu
Agar menjadi ratu baru
Aku pasrah

Kini
Aku tertanya-tanya
Mengapa si kain buruk ini
Masih engkau simpan
Mengelapkan kakimu yang
Berlumpur dan bernanah
Sedangkan dia sudah kering
Gersang dan mati
Dik kemarau nan panjang

Dan aku terus tertanya-tanya
Apakah yang ada
Dalam benak fikiranmu
Kerana segala telahanku
Berbeza dengann hakikat
keputusanmu

Mengapa kain buruk pengelap kakimu
Masih terus engkau simpan?
Mengapa?
Aku terus tertanya-tanya
Berikanlah aku jawapan
Aku reda....

CMA
7.07 malam
041013

No comments:

Post a Comment