Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, December 30, 2012

~SYAIR SELOKA BANGSA~

~SYAIR SELOKA BANGSA~

Hilang arah tidak bergantung,
gelap gelita jalan tersadung,
hujan siang hari tak berpayung,
awan berarak membuang mendung.

Semakin direnung semakin risau,
serasa pahit bagaikan tembakau,
hendak ditelan terasa payau,
habis musnah kacau bilau.

Hamba melihat semakin gelisah,
mereka bertelingkah semakin meriah,
berbalas kata semakin bertambah,
menyeret bangsa ralik berbalah.

Si tua tidak ambil peduli,
semakin lama semakin tuli,
luka bernanah sudah lali,
rela diri sengaja dibuli.

Apa hendak dikatakan lagi,
semuanya menjadi bersegi-segi,
mungkin tersedar jatuh perigi,
sudah terlambat tak berguna lagi.

Kita berkata penuh tersirat,
dalam tersurat penuh nasihat,
bersamalah kita ambil manfaat,
terkandung di dalam segala makrifat.

Apa dikata hendaklah dikota,
barulah semua mendengar kata,
jika tidak akan dikata dusta,
sukarlah membina negara kota.

Liza Isma,
~ Bersenda loka, namun nadanya bermakna....

29 Disember 2012/11.15pm_Sabtu.

No comments:

Post a Comment