Followers

Carian Dalam Blog Ini

Friday, December 28, 2012

SEORANG TUA SI TUKANG GUNTING RAMBUT

SEORANG TUA SI TUKANG GUNTING RAMBUT

Dulu akulah yang orang cari
mengemas apa yang serabut
mencukur apa yang perlu dicukur
dengan beg galasku
serta sebuah bangku kayu
mengelilingi dari kampung ke kampung
sebagai seorang tukang gunting
sekadar mencari sesuap nasi
untuk keluargaku yang menanti penuh sabar
dan dengan penuh harapan.

Tapi itu dulu
sewaktu pelangganku belum kenal lagi
dengan mesin rambut letrik
belum merasai lagi
duduk di kerusi empuk
dan bilik yang berhawa dingin
namun sekarang semuanya telah mereka kenali
dan aku pun semakin terpinggir
jauh dari keinginan mereka.

Kini semuanya menjadi sejarah
sejarah yang tercatat dari airmata
biarpun beg galas dan bangku kayu itu
masih setia menanti pelanggan
pelanggan yang semakin terlupa
bahawa di sini, seorang lelaki tua
dengan setianya juga
menanti dengan penuh harapan
sedangkan dia sedar bahawa harapannya
sekadar tinggal harapan.

Pun si tukang gunting rambut itu
masih setia menanti!... .

Qalam Bertinta
28122012
1236am

No comments:

Post a Comment