Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, July 28, 2013

Duhai Anak

Duhai Anak

ingat tak kamu?
siapa yang membesarkanmu
siapa yang memberi waktu
kala engkau memerlu
bukankah kedua orang tua itu?

nah! ingin aku menyeru
pulanglah walau sekejap bertamu
melayan orang tua yang merindu
selagi hayat mereka di depanmu
sebelum mereka pulang pada Yang Satu

bila kali terakhir kamu bertemu?

CNM, 28/7/13, THMK.

MENCARI REDA

MENCARI REDA

Merentasi separuh perjalanan
menempuh ujian
bagai bahtera di samudera
cekal dugaan
ribut tsunami
siang mengekang nafsu
malam hati menyala
darmaga-Mu destinasi
mendayung ikhlas
bertiang iman
kembang layar takwa
mencari reda
kebahagiaan hakiki
rumah abadi

yahyaisa
Segamat Johor
28072103 (19 Ramadan 1434)

Akan Kurindui Pemergianmu

Akan Kurindui Pemergianmu

akan kurindui pemergianmu
setelah kaubasahkan hati dan jiwaku
dalam tawadukku mengutip butir-butir pahala
sepanjang bulan barkah-Mu tanpa syarat
telah kumesrai kasihmu mengundang insafku
dalam lunak dan merdunya qalam suci-Mu
menggugah setiap ruang jasadku yang kosong
lalu ada sendu mengocak hati merinai titis keinsafan.

pantai kenangan yang tersulam indah
membarisi saf-saf suci pada tegak dan sujud
menyungsung lailatul qadar
bagai ombak mencumbui pantai
kuhadiri demi sebuah rindu pada syurga-Mu
tanpa jemu dan sangal.

akan kurindui pemergianmu
setelah kaubasahkan hati dan jiwaku
rimbun pantai laut dan langit
adalah saksiku dalam sayup dingin
dan qalam-Mu tidak mendustai kanvas hidupku
atas curangnya aku pada suruhan-MU.

Abdullah Tahir
19 Ramadan 1434 / 28 Julai 2013

CABANG RINDU

CABANG RINDU

cabang rindu membelenggu,
menjerat setiap jejak langkahku;
cabang rindu lekat di mataku,
tampak bebayang kekasih membiru;
cabang rindu mengelabu,
kemudian menyatu;
menghilai di carta rindu,
di dalam tidurku;
cabang rindu,
pencuri kasih yang handal memburu;
sebuah naluri wanita ayu,
saya telah lenyap di dalam cabang rindu;
bergelora di lautan mimpiku,
semakin jauh semakin dekat di hatiku.

Bayu.
Segamat,Johor.
280713.



DUSTA SEBUAH KEJUJURAN

DUSTA SEBUAH KEJUJURAN

Dalam meladeni akan rasa kelukaan
yang mencalar episod sebuah kisah
kurentaskan pandanganku
pada satu pandangan suri
agar dapat kutembusi dan kucari
akan erti sebuah kejujuran
yang sering menjadi pertaruhan
dalam menyisipkan kesetiaan
pada warna-warna satu hubungan.

Luka ini amat hebat pedihnya
membuatkan aku masih terlantar
di atas tikar kecewa
biar kucuba mengubatinya
namun kesembuhannya masih ingkar
kerana kelukaan ini
bukan atas satu kehilangan
tetapi kerana satu dusta
yang telah mencarik
akan segala rasa percayaku yang ada.

Qalam Bertinta
Klang
27072013
1717pm

50pp: rajuk alam

50pp: rajuk alam

...hujan berhenti menitis, awan gemawan enggan mengelabu, angin pegun dan hanya memandang, tanah-tanah jadi gersang, rerumput kekuningan, kering kehausan, layu tunduk menanti ehsan, alam telah menyebal, merajuk pada rakusnya insan, menelanjang kehijauan, memperkosa kedamaian, meragut keseimbangan, tanpa sedikit pun rasa bersalah, hanya mementingkan keperluan sendiri, sedang kemakmuran bersama, tergadai maruahnya...

CNM, 27/7/13, THMK.

FENOMENA

FENOMENA

Tiupan angin di hati
menyentap nurani
lalu menjadi mimpi ngeri

Titisan hujan syahdu
merembes dataran kalbu
lalu meresap ke hamparan baldu

Desiran ombak sukma
menghempas pantai derita
lalu pecah busa yang lara

Gegaran gempa di dada
sungguh cemas terasa
lalu kelu lidah untuk berkata

Dentuman guruh di cuping derita
sungguh membingit telinga
lalu payah mula bicara

Banjir bergenang di mata
mengalir lumpur merata
lalu mendap di muara

Terbit mentari yang ramah
sinarnya cerah
sirna bayang yang resah

Fenomena yang melanda
datang tiba-tiba
tiada siapa menduga
mungkin suatu musibah
atau mungkin tersirat hikmah
kita hadapi dengan tabah dan pasrah
kesemuanya takdir yang Maha Esa
hanya doa dan usaha
semoga terhindar dari mala petaka

Muhamad Amin
SMK Serian
27 Julai 2013

NANTIKAN AKU

NANTIKAN AKU

Waktu, pantas berlalu...
saat lagu-lagu lebaran berputaran
baru kusedari
Ramadan kian berlalu pergi.

Bergema irama "Dendang Perantau"...
lebaran kian terasa
lebaran kian hampiri
hati bertambah sayu.

Terkenang daku, wajah ibu di kota...
yang mengharapkan kepulangan
kepulangan anaknya di perantauan.

Aku sedari...
aku sedia mengerti
kerinduanmu, wahai ibu.
Nantikan dan doakan kepulanganku...
anakmu...di kejauhan ini
agar selamat dan sejahtera.

Walau pulangku tak lama...
cukup melepaskan kerinduan yang ada.

ZIE 27/07/2013

TANAHKU

TANAHKU

Darahku mengalir pada setiap rekahan dan lowong-lowong kosong tanah ini
mengairi sebuah rasa setia dalam basahan yang tidak pernah lewat sesaat pun
tika dentingnya yang bergemuruh membuncah semangat
lalu aku berdiri dengan keyakinan yang tak pernah luntur
untuk terus mempertahankan tanah ini dari dinodai
agar kesuciannya akan dapat kukhabarkan pada anak cucuku
bahawa tanah ini tidak pernah tercemar dan ternoda
kerana ada wira-wira bangsa yang sanggup meletakkan nyawa
sebagai cagaran dan taruhan tanpa pernah kenal arti gentar
dan tanpa pernah kenal arti undur.

Tanahku
andai aku terlena dalam minit yang panjang
engkau bangunkanlah aku demi satu janji yang telah kupadukan
jangan biarkan lenaku mencanai angkara pembangsat onar
kerana jika seinci pun tanah ini ditapaki oleh para pembangsat
akan kuperangi mereka sehingga tujuh keturunannya diulit mimpi ngeri
biar mereka ingat dan mengingatkan kepada anak cucu mereka
bahawa tanah ini punya darah dan punya nyawa pada setiap ketuanannya
tanah ini juga punya semangat pada setiap butiran pasir dan ketulan batunya
kerana tanah ini tanah berdaulat
tanah ini tanah beradat
dan tanah ini juga punya sifat.

Qalam Bertinta
Klang
27072013
1601pm

APABILA AKU MERINDU

APABILA AKU MERINDU

oh angin di lereng bukit-bukau,
apabila aku merindu,
bawalah resahku,
kepada kekasihku,
yang kudengar menangis pilu sayu,
nanti tengah malam pimpinlah tanganku,
khabarkan oh embun nan dingin membiru,
jatuhkanlah sayangku,
di hatinya yang tak pernah menyatu,
agar ia kembali ke pangkuanku.

Bayu.
Semporna,Sabah.
270713.

PILIH ANGKA

PILIH ANGKA

222 cantik
pilih molek
jaga baik
ada wibawa ada cakna
ada tidur tiada makna
ada janji tidak kota
ada tambah kaya
sana derita

yahyaisa
Segamat Johor
28072013 (18 Ramadan 1434)

DAN

DAN

dan...
sekali lagi kauhadir
mencuit perasaan
tika aku cuba melupakan
sedang hadirmu
takku harap lagi..
kalau sekadar untuk
melukakan...

~sue~
27/07/13

100pp: Cinta

100pp: Cinta

...bicara tentang cinta, suatu isu sejagat, anugerah terindah, satu naluri rasa yang menjalar dalam jiwa tanpa paksa, pun mungkin tanpa sedar, mencintai itu satu nikmat, tak tergambar, hanya yang menghadapi mampu merasai, kepada siapa cinta diberi, sedalam mana cinta ditanam, seluas mana cinta ditebar, hanya hati pemberi cinta ada jawapannya, cinta bukanlah barang mainan yang boleh dijual beli, ia bukan boleh dipaksa, ia hadir bila ada rasa kasih dan rasa menyayangi, bibit-bibit rindu yang melata jadi petanda cinta mula berputik, berkembang meniti masa, andai dibajai dengan kejujuran dan kesetiaan, cinta akan berada di landasan yang benar, terjaga rapi lagi suci...

CNM, 27/7/13, THMK.

50pp: Ikhlaslah

50pp: Ikhlaslah
....jika kepentingan diri melebihi dari kepentingan bersama, natijahnya adalah kehancuran kelompok, lebih besar lagi kehancuran sebuah institusi mahupun negara, ia mampu membunuh saki baki rasa kekitaan, nilai kepercayaan akan terkubur, rasa tidak puas hati akan bergelojak membangkit api kemarahan, kacau bilau bakal tercetus, dan meletupnya tuntutan keadilan, ikhlaslah dalam perkhidmatan...

CNM, 27/7/13, THMK

KIRA-KIRA

KIRA-KIRA

Matematik kata: 5-1=4
Islam kata: 5-1=0
sama angka, makna berbeza.

yahyaisa
Segamat Johor
27072013 (18 Ramadan 1434)

MESTERI TUKANG UKIR

MESTERI TUKANG UKIR

Mengukir
Epilog di atas akar kayu sandiwara
Sungguh menakjubkan kurafat pun terhambur
Terang cahaya matahari menghidupkan bayang arca
Empayar mesteri tukang ukir
Risalah tua di atas meja
Ilusinya meliar.

Tanpa mata pisau
Uraikan urat serat akar kayu sandiwara
Kertas-kertas ukiran tersimbah peluh berkilau
Antara celah bingit suara angin pada remang senja
Nahu bait-bait ukiran jika dipandang makin memukau
Gemalai menghurung mantera

Ukiran mesteri
Kala senja berlabuh di kaki langit
Ia semakin berjilid bersiri
Rahasia berbaur kurafat peristiwa alam berhabitat.

Bayu.
Segamat,Johor.
270713.

AZAB

AZAB

Ada hujah hujan hitam
Zalim sepanjang zaman
Ada hujan hujah hitam
Batu azab penyesalan.

Bayu.
Segamat,Johor.
270713.

MENGAPA

MENGAPA

Mengapa membisu...
mengapa menjauh
mengapa ungkapi sayang
mengapa ungkapi rindu
mengapa berdiam
mengapa dibiarkan
persoalan tiada jawapan
hanya mengundang kelelahan yang berpanjangan.

ZIE 26/07/2013

MENCARI KEKUATAN

MENCARI KEKUATAN

Cuba...dan terus mencuba
walau ada kepayahan
walau ada keperitan
harus jua dilalui.

Mencari kekuatan...
saat hati dan perasaan berbalah.
Andai diikutkan kata hati, mati
ikutkan rasa, binasa
ikutkan perasaan, merana badan.

Dalam kesamaran...
mencari kekuatan...
sujud pada-MU
mohon keampunan
mohon keredaan
mohon kekuatan
mohon ketenangan
moga hati dan perasaan
akan menemui jalan perdamaian.

ZIE 26/07/2013

NELAYAN

NELAYAN

Peluh menitik benih syurga
bibir merkah wajah lesu
perit digigit mentari
menganyam laut jaring rezeki
aku nelayan

yahyaisa
segamat Johor
26072013 (17 Ramadan 1434)

DIALAH IDAMANKU

DIALAH IDAMANKU

Kata nafsu
cantiknya pada tubuh gebu
mata memandang tanpa jemu

Kata cendekia
cantuknya pada ilmu di dada
cerdik akal bijak merencana

Kata ulama
cantiknya pada akhlaknya
sopan santun pekerti mulia

Kata sang pendeta
cantiknya pada tingkahnya
sungguh memikat jiwa

Kata teruna
cantiknya pada lirik mata
sungguh mempesona

kata rakan seangkatan
cantiknya sukar dinyatakan
masing-masing punya pandangan

Kata sang suami
cantiknya terletak pada hati
yang sukar dimengerti

Namun, kata Rasulullah Junjungan kita
kahwini dia kerana empat perkara
kerana cantik parasnya
kerana banyak hartanya
kerana mulia keturunnnya
kerana agama dan takwanya
yang keempat itulah idaman utama

Muhamad Amin
SMK Serian
27 Julai 2013

aku tak fikir

aku tak fikir

catatan rasa nukilan bicara
sahabat maya sahabat pena
media cetak arus perdana
semuanya bermakna
aku tak fikir ia sampah
padaku katamu yang tiada hemah
selayaknya dibakul sampahkan
sedikit pun tak membawa percambahan
selebihnya hanya berunsur hinaan...

yang pelik lagi menghairankan
puisi engkau juga disiarkan
di laman yang engkau anggap
timbunan karya sampah.

sedarkah engkau?

CNM, 26/7/13, THMK.

TAMAK

TAMAK

Teratai bunga di tasik
Ada jasa beriman cekal
Memiliki hati yang baik
Akan tetap suka beramal
Kalau tamak tidak baik.

Bayu.
Segamat,Johor.
260713.

perlukah?

perlukah?

perlukah menangis
andai kamu ditolak
tidak diterima sesama manusia
ingatlah Dia ada bersamamu
sesungguhnya hanya Dia yang memberi reda...

CNM, 26/7/13, THMK.

GURINDAM BERLAPIS MENYENTUH LEBARAN.

GURINDAM BERLAPIS MENYENTUH LEBARAN.

Malam seribu bulan teguh berdiri
tidak tergapai dek jari hanya merasai
kasihnya Ilahi, aku hamba-Nya bersaksi.

Ayam dan itik tinggalkan reban
lembu dan kambing menyorok di hutan
ketupat berendangkan lodeh di pinggan.

Gegak gempita di waktu malam
bebudak kampung bermain meriam
kesian, sampai terkangkang imam.

Pelita buluh si pelita ayam
terang benderang seluruh alam
orang tua berhati suram.

Sazalee Sulaiman ... 26/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

cerita ombak

cerita ombak

bagai selalu ombak hadir di kakiku
menyapa aku dengan ceita barumu
katamu ..
aku singgah di satu pulau
pulau itu terlalu indah
di dalamnya ada banyak kuntum mawar
mewangi dan mekar
di sana aku temui cinta

katamu lagi
aku begitu terpesona dengan bicara cinta
gemersik, lembut dan terbuai
aku jadi leka teramat
hingga tidak kusedar dalam diam
aku sandarkan harapan
memiliki cinta itu jadi impian
dimiliki oleh cinta jadi anganan

lalu..
aku katakan pada ombak
mengapa hadir di sini lagi
katamu...
cinta itu cinta terkejam
yang pernah kautemui
aku disakiti
aku ditinggalkan
aku dilupakan
aku dipinggirkan

lalu aku ingin kembali ke pantai ini
aku tahu kausetia
setiamu tidak pernah berubah
walau aku hadir dengan cerita
yang tidak pernah sama

Barah Integrasi

Barah Integrasi

menjelang 56 tahun kemerdekaan
dengan ledakan media elektronik
maklumat merebak pantas
pelbagai cerita disebar
dengan berita di hujung jari
di mana status integrasi?

pelbagai provokasi
meniup sentimen perkauman
menyemarak bara kebencian
membahangkan api persengketaan
yang membakar kesepaduan
bisa menghancur leburkan keharmonian

barah integrasi
andai tidak dicegahi
natijahnya sungguh ngeri
seluruh dunia bakal menyaksi
runtuhnya sistem demokrasi
dwi dewan raja berperlembagaan terkebumi

hargai nilai integrasi sebelum ia jadi barah membawa mati.

CNM, 26/7/13, THMK.

MUNGKIN

MUNGKIN

Mungkinkah
ini noktah sebuah pengembaraan
merentasi gurun sahara
yang meletihkan
untuk menggapai istana Balkis
di puncak Piramid

mungkinkah
kaumasih bertenaga
seperti mahasiswa
mengumpul tenaga belia
bercerita tentang Baling
tentang kedhaifan
dan kemunduran

mungkinkah
dalam kudrat sisamu
senja begini
lewat waktu
mampu menangkis pidato hujah
pendekar ternama di arena
jolokan buah senyuman
bersama ghanimah

14 itu pudar
andai tersasar
segalanya mungkin

yahyaisa
Segamat Johor
26072013 (17 Ramadan 1434)

NUZUL AL-QURAN

NUZUL AL-QURAN

Bumi senyum riang
menadah limpahan hujan rahmat
Nuzul al-Quran
kitab menyingkap rahsia alam
petunjuk jalan menuju kebahagiaan.

yahyaisa
Segamat Johor
25072013 (Ramadan 1434)

Musim Haiga

Musim Haiga

Musim haiga tiba
aku bercita-cita membina kata
huruf demi huruf aku susun
kata demi kata aku rangkai
berangkai ada tapi lain makna
berirama merdu tapi lain melodinya

tanpa putus asa aku membaca syarat khas tertera
tanpa sedar ayat terbina di ruangan minda
bila jari mula bercerita
haigaku entah ke mana
dari haiga menjadi haiya
nampak gaya aku harus banyak membaca.

fieda
25 Julai 2013

GOYAH

GOYAH

ada ketika terasa rapuh
menjerat diri
goyah ditiup angin
sesak rasa dihimpit
perasaan melayang
entah kemana...

mencari diri yang hilang
ada secebis kekuatan
yang harus dipertahankan
meneruskan perjalanan
adakala tersungkur, rebah dan
bangkit kembali..
mengorak langkah dalam
kepayahan...

~sue~
25/07/13

menyemai damai

menyemai damai

kucuba
mencipta laman damai
menanam pepohon ukhuwah
biar merimbun silaturrahim
saling membantu
saling mengingatkan
bukan menusuk jarum kebongkakan
seperti mana insan konon mulia
tapi hati penuh kumbahan kesombongan...

CNM, 25/7/13, THMK.

MANA MUNGKIN

MANA MUNGKIN

Mana mungkin
sendiri melingkungi diri
tanpa mengait dan dikait
tetap bergantung dan tergantung
saling bersatu
mengharap restu
wangian puisi kita hidu
kemerduan bait syahdu meresap
madah kita berkalam kata
dalam keindahan
mesra kedapatan.

Kita tidak dapat bernyanyi
bila lagu tidak berbunyi
dalam nada dan irama
melirik bait di melodi
andai mulut terdiam
dapatkah bisu membungkam
lalu sendu rindu memendam.

Bila bersendirian
tanpa sesiapa
kelu lidah buat bicara
andai membeku segala rasa
akan terhapuslah segenap cita.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
25 Julai 2013

Demi Sinaran Ramadan:

Demi Sinaran Ramadan:

Wahai perilaku bejat tanpa silu; pergilah sejauhnya dari jilbabku hindarkan dirimu dari syurga hatiku, sesungguhnya aku saling merindu ~ pada ketenangan yang asyik memelukku...

Saturday, July 27, 2013

Kau Dekat Tetapi Jauh

Kau Dekat Tetapi Jauh

Kaulontarkan senyum
melimpahkan kasih
berjabat di balik bebayang
mengajak aku berbicara
aku mengerti
sesungguhnya
kau dekat tetapi jauh.

SZA KAM
Tapah 25.7.13

Friday, July 26, 2013

~Biar~

~Biar~

Tak akan kupedulikan pada rasa yang singgah
biar kelopak hati membusung nanah
nakku biarkan jemari ini terus menukang madah
hingga terbina sebuah gedung puisi-puisi sampah
biarkanlah...
Sampah ini hakku, milikku, kecintaanku
tak kupinta walau sebutir melukut berdebu
aku tak mengemis walau sezarah sanjong puji
timbunan sampah ini hakku yang hakiki
reput busuknya di hidungku sendiri
biarlah...

~mohd sufian ali 250713 SK443~

50pp: hakikat

50pp: hakikat

...menghampiri duapuluh tahun membina modal insan, telah kutemui pelbagai ragam, baik anak didik mahupun penjaganya, jelas sekali segelintir yang hadir mencari ilmu, tiada bermatlamat dan ditambah buruk dengan ketidakpedulian penjaga mereka, seakan menyerah bulat-bulat kepada guru mendidik, sedang waktu anak-anak sebahagian besarnya adalah di rumah, bukankah pendidikan bermula dari rumah?...

CNM, 25/7/13, THMK.

GERIMIS DI HATI

GERIMIS DI HATI

Duhai malam...
ada hati yang dilanda gerimis
sukar untuk dimengertikan
perit yang mencengkam
namun tetap jua mencuba
melupakan sesuatu yang memedihkan
sesuatu yang memeritkan.

Walau hati enggan
walau hati sedih
harus jua rela
harus jua menerima.

Duhai hati...
walau gerimis mengundang
tabah, cekal dan kuatkan azam
aku mengerti...tabahlah
duhai hati...
walau ada gerimis di sanubari.

ZIE 24/07/2013

DEWATA

DEWATA

Kerana kaurasa dewata
singgahsana tiada tara
mendonggak langit
lupa hijau bumi
rerenek yang subur
bagimu
sampah jijik

iklim berubah
egomu ke lembah
cair salji
terbenam diri

yahyaisa
Segamat Johor
25072013

Pedulikan

Pedulikan

sahabat
teruskan berkarya
kata-kata sumbang yang kedengaran
jika datang dengan keilmuan
ia jadi pengajaran
tapi
jika datang dengan penghinaan
ia jadi racun merosakan
kerana yang berilmu
tidak akan mengkritik tanpa saranan
menunjuk jalan penambahbaikan

aku tidak rasa hormat
kepada yang konon diri sempurna
dan boleh dicontohikah mereka ini
dengan menganggap puisi orang lain sampah...

sesungguhnya hanya DIA yang sempurna.

CNM, 24/7/13, THMK.

Puisi

Puisi

puisi ada jiwa
puisi punya rasa
puisi luahan minda
puisi perkongsian bicara
puisi olahan kata
puisi binaan bait bahasa
dan puisi boleh jadi seribu satu macam perkara

puisi padaku bukan sampah.

CNM, 24/7/13

BERSERAH

BERSERAH

Menjelajah malam dengan wirid
ramadan yang menjanjikan keampunan

...bertafakur.

Larut dalam zikrullah.

Qalam Bertinta
Klang
24072013
2035pm

GARPU DAH UZUR.

GARPU DAH UZUR.

Melihatkan sudu
berdarah muda, berenang di kuah
garpu yang tua memandang menyampah
tetap ingin bertingkah
meluah ruah, menyumpah seranah
meludah-ludah.

Ahh! ... sudah-sudahlah garpu
engkau dahulunya juga pernah berdarah muda
pernah juga meminta tunjuk arah

janganlah langit hendak kauludah
nanti jatuh ke dahi, pundakmu berdarah.

Mengata orang karya mereka sampah
di ruangan akhbar karya terlakar
sedangkan engkau, garpu
turut menghantar karya
di dada akhbar jelas tersiar.

Aduhai garpu!
... uzurkah sudah.

Sazalee Sulaiman ... 24/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

KAMPUNGKU KINI

KAMPUNGKU KINI

Bertahun-tahun di perantauan
meninggalkan kampung halaman
cerita lama menggamit kenangan

Lalu di atas permatang
di sekelilingnya sawah bendang
tanaman padi menghijau daunnya
melambai mesra lalu menyapa
tunduk menguning buahnya
merendah diri gerak lakunya
ciak dan pipit ria sekali
berselera memagut rezeki

Tenang air di kali
ikan puyu sepat dan keli
gulai lemak cili api
menanti juadah tengah hari

Sesekali datang bertandang
mata melilau mencari-cari
mana jalan permatang?
mana sawah padi?
mana orang-orang?
mana pinggir kali?

Tiada lagi teruna membanting
tiada lagi gadis mengemping
tiada lagi bunyi seruling jerami
tiada lagi sepat dan keli

Yang ada cuma kedai tiga tingkat
teres dan bungalo penentu darjat
cineplex dan kafe maya
anak-anak menghabiskan duit belanja
ayam Kentucky enak dan lazat
ayam kampung semakin liat

Atas nama pembangunan pesat
rakyat menghuni perumahan padat
tanah leluhur bertukar nama
betulkah nikmat sama dirasa?

Restoran KFC Serian

24 Julai 2013

BILA TIBA SAATNYA

BILA TIBA SAATNYA

Bila tiba saatnya
kita pun ditamu
sakaratul maut
menebar haruman kasturi
atau menyeringai wajah
merentap-rentap
saat roh mengeluh dan meratap.

Kita pun tertanya-tanya
pada warna
yang mencorek takwa
serta tenunan iman
yang menghiasi hayat
apakah seindah hiasan
yang tergambar
pada dinding catatan
para malaikat.

Bila mata terpejam
terbicaralah kita di dalam hisab
bersatu di Khusnul Khatimah
atau terbelenggu di Suul Khatimah
menunggu Masyhar
menuntun atau menggegar.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
24 Julai 2013
7.08 am

TIRAI MALAM

TIRAI MALAM

Di hulu langit kelam
Awan berarak suram
sepoinya tiupan angin
menusuk tubuh dingin

Seloka cengkerik kian mendayu
puisi sang kodok menusuk kalbu
suara pungguk kian hiba
kekasih hati tak kunjung tiba

Di hilir sana lain suasana
riuh bermandi cahaya
malam semakin tua
hati semakin muda

Deruan meraung membingit telinga
sesak nafas sebak dada
di bilik samar-samar
urus niaga tawar-menawar
alunan cakera padat menggegar dinding kalbu
anak-anak ayam keciciran mencari ibu

Di sini tirai malamnya lapang
dengkurnya senang
diulit mimpi tenang
di sana tirai malamnya parah
dengkurnya resah
diulit mimpi berdarah

SMK Serian
23 Julai 2013

NOSTALGIA KITA

NOSTALGIA KITA

Ruang ini
Duduk kita berbicara
…bicara soal hati
…bicara soal kini dan masa hadapan
…bicara dalam senda
…bicara bersama secangkir kopi
…bicara ditemani muffin coklat kesukaanmu

Ruang ini
Duduk berbicara tanpa suara
…mata merenung
…hati berdetak
…bibir tersenyum manis
…minda memahami

Ruang ini
Penuh nostalgia
Kita bersama
Suka duka
Kita kongsi bersama
Moga selamanya
Kita di ruang ini…

Shaheen
24072013

GURINDAM BERLAPIS 1

GURINDAM BERLAPIS 1

Kalau tiba musim tengkujuh,
kalau hilang tempat berteduh,
bagai berpaut di dahan rapuh.

Kalau pusaka dirampas orang,
kalau harta sudah berkurang,
hidup kita bagai menumpang.

Kalau asyik mencaci nista,
kalau kita asyik bersengketa,
hidup kelak akan menderita.

Kalau nasi menjadi bubur,
kalau ikatan sudah kendur,
perpaduan kita akan lebur.

Kalau lemah tangan berjabat,
kalau ukhuwah sudah dikerat,
mudah menyusup anasir jahat.

Kalau kita ingin cemerlang,
kalau mahu bangsa dijulang,
berganding bahu kita berjuang.

yahyaisa
Segamat Johor
24072013 (14 Ramadan 1434)

IBU

IBU

ada redup di matamu
ada tenang di wajahmu
walau ada garis-garis halus
menghias wajah... senyummu
tetap mendamaikan...

ibu...
engkaulah tonggak kekuatan
walau letih tak pernah terpamer
dengan senang engkau lakukan
penuh cinta, kasih dan sayang

ibu...
engkaulah kesayangan
sentiasa ada tikaku duka
penuh kasih membelai jiwa
bicara lembut menyusuk sukma
di ribamu aku terlena...

ibu... engkaulah permata

~sue~
23/07/13

24434 SEMALAM

24434 SEMALAM

Pagi semalam
sudah menjadi sejarah silam
sebuah madrasah dalam kehidupan
untuk menempuh esok
kejayaan yang lebih cemerlang

yahyaisa
Segamat Johor
24072013 (14 Ramadan 1434)

S.S.A.K.A.~

S.S.A.K.A.~

Saya sayang awak kerana Allah.
Satu kata yang amat mudah dilafaz,
namun pengaplikasian sebagai teman itu begitu payah.

Aku harapkan pertemuan tidak hanya di dunia
tetapi juga di syurga sana.

Aisis Raudhah~
2.24am 24/7/13

~ Sementara ~

~ Sementara ~
Kita berdiri dan berlari
rebah bangun dalam mencari dan menanti
ada kalanya menyanyi sambil menari
tiada kecuali menangis antara canda ketawa ria
di celah detik-detik nafas tak bersewa
menghuni di atas hamparan sementara
kesementaraan yang sering kita lupakan
peminjaman yang kita abaikan
lalu tersenarailah kita
sebagai penghutang dosa...
Namun Allah Maha Pemurah kurniakan kita
bahtera Ramadan al-mubarak
buat kita melunas hutang-hutang tertunggak.

~msa: 230713 SK443 Temerloh~

TPPA-KITA RUGI

TPPA-KITA RUGI

Penjajahan terancang
dunia era baru
mengembang sayap
melebar pengaruh
mencari mangsa

TPPA
mencengkam kita
kedaulatan tergugat
perlembagaan disiat
kuasa mengecil
bangsa terpinggir
persaingan getir
generasi terabai
hak tergadai

lunak janji
pengaruh mempengaruhi
penaklukan bersiri
dalam ekonomi

kita renung
kita kaji
pandangan pakar
mantan perdana menteri
kita rugi

yahyaisa
Segamat Johor
23072013 (13 Ramadan 1434)

Duniaku

Duniaku

Duniaku jadi girang
sejak kau hadir
sejauh manapun saujana mata
kau memenuhi segenap ruang aksara
makanya, bermakna.

Duniaku jadi hilang
sejak kau pergi
sejauh manapun aku lari
kau tinggalkan kosong tak terisi
makanya, sepi.

Aku dalam duniaku kini
mengintai pelangi.

~Angah Arie~
Seremban 270213 21:30


GENDER.

GENDER.

Dalam dunia ada gender
dalam hidup ada gender
dalam alam ada gender
dalam manusia ada gender

dalam puisi ada gender
dalam berpuisi juga ada gender
dalam membaca mengikut gender
dalam menghayati terikut gender

dalam menilai karya mengikut gender
dalam berkomen turut tersangkut gender.

Yang lelaki memilih puisi berlainan gender
yang perempuan turut memilih gender
kurang bilangannya yang menilai puisi sesama gender
yang terbaiknya yang mempunyai nama turut memilih gender

gender yang cantik dan menawan
lagi jelita-jelitaan, muda-mudaan
apatah lagi yang bertaraf janda
untuk disenggol-senggolan
untuk digula-gulakan.

Ini hakikat bukan menyakat.

Sazalee Sulaiman ... 24/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MAAF, ENJIN KERETAKU LAJU.

MAAF, ENJIN KERETAKU LAJU.

Pon Pon
Pen Pen

... aduhai, ketepilah
terhegeh-hegeh

PON PON

... kalau tak nak lalu
bagi luan padaku
tidak membuang masa dan waktu

PON PEN PEN PON

... aku menyintai, kekasihmu.

Sazalee Sulaiman ... 23/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

~ PADA GUMAMMU DI TERIK SELAR MENTARI ~


~ PADA GUMAMMU DI TERIK SELAR MENTARI ~

desir angin
gemersik dedaun berbisik
gumam kitakah itu
berkisah dalam bisu

terlalu lelah jiwa mengendong netra rasa
manisnya mengucup titis-titis asmara
mekarnya menghias taman kasih di puncak ancala
menabiri terik selar mentari di pinggir mata

lalu kuceritakan pada hujan tentang gelodak jiwa
pada titis-titis rindu yang mengalir
biar saja ia diam-diam tersembunyi di situ
pada tiap senyum yang meniti di bibir
biar saja rintik-rintiknya mengucup nyaman di pipiku

dan di saat ini
di saat senja mula melabuh
masih lazuardi langit yang menatapku
binar suria tetap mengintai di celah jejak-jejak jingga
laluku pautkan sejuta aksara di antara sulur lembayung
moga saat kolek itu berlalu pergi
kasih kitakan kembali bertaut...

DOAKU

DOAKU

Dan pada hari ini
Orang-orang yang mengelilingiku
Adalah saudara seagamaku yang sudah lama kukasihi
Kepada-Mu ya Allah ampunilah dosa-dosa mereka itu
Usalah menghantar kami sampai ke sijjin yang jauh lebih menyakiti.

Bayu.
Semporna,Sabah.
230713.

JALINAN RASA

JALINAN RASA

Cinta kasih juga sayang
Walau jauh berbayang
Masih mampu membahang
Kerana sifatnya sayang
Meruap tanpa sempadan menghalang

Jarak memisahkan kita
Salam ukhwah tetap kujaga
Kiriman doa tidak kulupa
Buat semua nan jauh di mata
Sejahteralah kamu di sana

…silaturrahim terjalin

Shaheen
23072013

GIRANGNYA SI ANAK.

GIRANGNYA SI ANAK.

Di dada Ramadan aku berdiri
mendongak dahi mengecap hawa
mencongak rezeki untuk dirawa
sepersalinan haruslah sedondon sama

si jalak hilanglah nyawa
pecah perut bertabur melata

kcing-kcing, tiada bunyinya.

Sazalee Sulaiman ... 23/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: meracuni

50pp: meracuni

...sekali lagi, langit diselubungi zarah-zarah tak kelihatan, mata kesakitan, menahan pedih asap debu, nafas terhela dalam sebu, menyesak dada, mengapa? Mengapa ada manusia yang seakan tidak peduli, mencemar alam, merosakkan kitaran semulajadi, hidupan terdera, mati dalam sengsara, tangan-tangan manusia alpa, meracuni saudara sendiri, demi kepentingan diri, tunggulah datangnya murka Ilahi...

CNM, 23/7/13, THMK.

~ Wangi~

~ Wangi~

Jauh dan tersembunyi
namun terhidu wanginya jauhari
belum pernah bertarung tatap
namun talian rasa menyimpul akrab
keharuman ukhuwah saujana hayat
kasih sayang wangian sejagat.

~msa:180713 SK443~

KEMBALI LAGI

KEMBALI LAGI

Tidak lama rupanya ia...
tiba-tiba kembali lagi
mengapa masih berdegil lagi.
Telah dikatakan berkali-kali
tetap jua berlaku lagi
asyik saja menunding jari
si pembuat angkara
tak dapatkah dicari?
pengalaman lalu kenapa tak dipelajari
ada saja alasan yang diberi.

...jerebu kembali lagi.

ZIE 23/07/2013

PENENTU PUNCAK

PENENTU PUNCAK

Bukan gula-gula
bukan janji tidak dikota
nilai juta-juta
kami mahu nyata
kami ingin sinaran purnama
kami mahu laut membiru
kehidupan baru
maju

laut itu taman
bumi kehidupan
ombak badai permainan
mencari makan

Kuala Besut
debaran memuncak
menanti detik sejarah
24 Julai
tangan ini memangkah
penentu puncak

yahyaisa
Segamat Johor
22072013 (13 Ramadan 1434)

Laut Kasih 293

yang terindah
berbaring di ribaan laut kasihmu
mendengar bisikan rindu syahdu
menghirup wangian cinta tulus padu
yang kauberikan padaku

aku terlena dalam dakapan cinta kasih sayangmu.

CMN, 22/7/13, THMK.

KE BANIR KAKU.

KE BANIR KAKU.

Jika cinta telah pergi
biarlah cinta pergi
bersama nafas keresahanku
lelah
di renda kelabu

menjauh
dari lubuk kalbu
semu
beralas kenyitan
berpantis alis
palsu

membakar
di relung
merentung
di lohong
di lorong
berbohong
pekung

dibilas
air mataku
pilu
ke banir kaku
kuhitung
layu.

Rawan
kepialu
dijeruk
hatiku
berlalu
sayu
langgam berlagu

tidak akan aku
merayu.

Rindu.
Pergilah ... pergi
usah kembali
lagi.

Sazalee Sulaiman ... 23/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

AKU ADA NAMA.

AKU ADA NAMA.

Aku,
aku ada nama
terkenal
di seluruh jagat raya
meninggi bak awan
mendalam bagai lautan
siapa yang tak kenal
aku
... aku ada nama
aku adalah aku.

Kalau kamu ingin berjaya
kalau kamu ingin ke puncak jaya
namamu terkenal seperti namaku
dan buku antologimu ada penerbitnya
autobiografimu di terbit sekala
tanpa dikerenahkan sesiapa
tanpa dipandang sepi oleh sesiapa
kamu harus akur
akan setiap kata-kataku.

Kata-kataku adalah kuncimu
kata-kataku adalah ganjaran bagimu
kamu harus mendengar
tidak atau tidak kamu mesti mendengar
tanpa ada bangkangannya
akan setiap kata-kata
dan arahan dari aku

jadi
usahlah kamu membangkangnya

kerana aku,
... aku ada nama.

Kamu ada nama sepertiku?

Kamu mahu atau tidak?

Kalau kamu mahu
buku kamu diterbitkan
oleh suku-sakatku
kamu harus menjadi
hamba ...
hamba kepada cintaku.

Sazalee Sulaiman ... 22/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Bulan Purnama

Bulan Purnama

Seringkali
Kau disalah erti
Tiada hati

Bila pungguk menunggu
Dirimu
Tiada jemu
Kau berlalu
Bila malam berlabuh ke hujung waktu
Bulan purnama pun beradu
Tinggal pungguk merindu

Shaheen
22072013

KEHILANGAN

KEHILANGAN

Ayah...
aku cuba untuk melakarkan
sebuah lakaran puisi kehilangan
kehilanganmu...ayahku sayang.
Duapuluh dua Julai hadir lagi...
suatu peristiwa menggamit memori
duapuluh enam tahun lamanya kini
ayah pergi meninggalkan kami.

Duhai ayah, ayahku sayang...
pergimu tiada dapat dihalang
sering aku berhati walang
saat ujianku kian menjelang
kusimpan di hati tiada kubilang
kerana kumampu menanggungnya seorang.

Masih segar di ingatan...
saat aku ke rumah penghulu
mengutuskan khabar saat akhirmu
langkah longlaiku semakin laju
untuk sampai ke tempat yang di tuju.
Saat aku kembali...
kulihat kakak menangis lagi
tangisan kakak hiba sekali
hatiku mula mencurigai, sangkaanku benar sekali.

Meluru aku ke muka pintu
terjelepuk aku terus di situ
menangis hiba tanpa malu
saat rakan dan jiran setia di situ.
Kutatap ayah penuh sayu
sekujur tubuh terbujur kaku
airmataku semakin laju
tanpa kusedar ketika itu
terpacul kata dari bibirku
"abah dah tak ada"
kulihat yang ada memandangku penuh sayu.

Bagai kaki tak jejak bumi
kugagahi diri berada di sisi
tiada daya, tiada kudratku lagi
jiwaku kosong, bagaikan mati
ayahku pergi takkan kembali
walau tempatmu sudah diganti
takkan sama ayah yang kusayangi.

ZIE 22/07/2013

MENUJU SEMPURNA

MENUJU SEMPURNA

Menyendiri
Insafi
Perilaku diri
Di malam hari

Kotak fikir
Tak sealir
Bila hati yang mentadbir

Akal sempurna
Berkuasa
Hati akur dengan rela
Insan bijaksana
Penuhi tuntutan agama

…insan kamil, insya Allah

Shaheen
22072013

PANTUN MENCURI PANDANG.

PANTUN MENCURI PANDANG.

Mawar sekuntum duri merimbun,
kumbang meratib meniti tiang;
mekar mengharum di pagi embun,
di ambang titip mencuri pandang.

Kurenung-renung
kuseru-seru
kupuji-puja
kudewi-dewa.

Sazalee Sulaiman ... 22/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

DERIA JAUHARI

DERIA JAUHARI

Sebalik duri
semat deria jauhari
kutip mutiara

yahyaisa
Segamat Johor
22072013 (13 Ramadan 1434)

HATI ORANG TAK MAHU

HATI ORANG TAK MAHU

berhenti sajalah di situ,
tempat mula-mula kamu melupakanku;
kan lebih baik tidak menyatu,
kalau cuma sakitkan seluruh hatiku;
menjadi sebuah sesal duka bertalu-talu,
cukuplah hati orang tak mahu itu;
memalit resah di keningku,
meski bukan di hatimu;
namun ia berbekas di kalbuku,
berparut jernih di surut air mataku.

Bayu.
Segamat,Johor.
220713

SYAIR KELEKATU.

SYAIR KELEKATU.

Kupilih kelopak gebu teratai
buat menutup sopak mengintai
berteman kasar si kain cindai
membalut rindu di subuh damai.

Hati terpaut merindu cinta
bergoyang tiang kupejam mata
telah kusedia mahligai tahta
menunggu kasih datang berwarta.

Sengal menghilang badanku dingin
berkabus subuh tiada berangin
padamu kasih aku beringin
menjadi teman di atas pelamin.

Telah tersergam bahtera rindu
di laut luas buat beradu
kutatang kasih jiwa berpadu
di subuh indah rindu merindu.

Tidak bernisan jasad cintaku.

Sazalee Sulaiman ... 22/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

SELOKA: AWAL GURINDAM BERAKHIRAN PANTUN.

SELOKA:
AWAL GURINDAM BERAKHIRAN PANTUN.

Kusemai rindu beralun kata
meresap jiwa bagai laksamana.

Dari Bentan ke Pulau Cendana
bertalam dupa gaharu cinta.

Kubawa selasih sepurnama menyisih
semoga kasih mendengar rintih.

Berpaut kalam di lautan dalam
rindu mendalam berkias malam.

Kucelak mata mataku pedih,
kubiar saja bagai dipaku;
tidurlah sayang tidurlah kasih,
lenanya kamu dibelai rindu.

Bersatu jiwa bersemi rasa.

Sazalee Sulaiman ... 22/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

RINDU PADA BAYANGAN.

RINDU PADA BAYANGAN.

Di bawah bayang angan aku mengelamun bertemankan tiang. Bersandar, mengelamun seorang mencari kata menguatkan pinangan...rindu menyapa tidak tertahan

... aku kelemasan.

Sazalee Sulaiman ... 22/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

pelaut hilang kemudi

pelaut hilang kemudi

bermuka masam, mencuka
di tengah laut, menduga
bercermin air masinnya garam
berkocak tiada ombak menghilang

rindu di hati duyung pujaan
mencuri dayung di lautan dalam
beroleng-oleng bersendirian
air yang dalam akan melemaskan

berbumbung kelam di langit malam
pelaut mencari haluan bintang
kemudi harapan lenyap pandangan
dalam memaknai sebuah impian.

Pelaut Malang
21072013.

I: pelaut menyanyi

I: pelaut menyanyi

betapa rapuhnya bahteraku ini
dalam melayari samudera mimpi
dibadai ombak beroleng ke tepi
dilambung taufan karam berkali
tercungap berenang mencari diri

II: pelaut di cerun sunyi

aku kembali ke cerun ini
menghadap laut terbentang sunyi
melayar hati menjeruk sepi
merendah diri berlutut kaki
munajat hati di dalam diri
mencari keredaan Ilahi
mencari diriku sendiri, itu yang pasti.

III: pelaut melayan hati

aku tidak menyangka
yang aku akan kembali semula
ke pantai sunyi ini
melayari hati, bersendiri
bersingsing kaki
menyusuri
sepanjang pantai, bertemankan
ombak...di kalbu

Pelaut Malang
21072013.

PERSIMPANGAN

PERSIMPANGAN

Dalam hidup
yang terindah
saat merangkai jabat
menyimpul mesra
meluhur hati
ikhlas bersaksi
setia berbakti.

Dalam hidup
yang tersakiti
saat khianat mengigit
telapak bertemu
kelingking mengait
menghiris luka
pedih dan perit.

Di persimpangan
menentu hala
mengorak langkah
atau kembali berpaling
mencari titik mula
dalam kekeliruan
tanpa bertanya
dan menyendiri.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
21 Julai 2013

50pp: kelainan

50pp: kelainan

...andai tanah yang engkau berdiri kini tidak lagi mendamaikan, melangkahlah ke benua yang diidamkan, beranjak ke ruang baru, yang mampu memberi ketenangan dan kebahagiaan, usah peduli laman tumpah darah ini, nun di sana kedapatan alam luas terbentang buat yang miliki kemahuan, punyai hati kering adakala kelebihan pada yang inginkan kelainan...

CNM, 21/7/13, THMK.

50pp: berhelah

50pp: berhelah

...bila bapa mula sangsi, dia kata pergi, tapi surat peringatan jadi bukti, dia telah membohongi, berhelah melepas diri, konon tiada aktiviti, seteleh diselidiki, rupanya belum menyiapkan tugasan diberi, bertangguh kerana sikap malas mengaji, cuba melari diri, sedang mak ayah percaya sepenuh hati, anak ke sekolah seperti diingini, anak zaman ini!...

CNM, 21/7/13, THMK,

50pp: melerai

50pp: melerai

...di hujung hari, nadamu kian meruncing, melodinya kian menyesak, lagunya merobek rasa, ke mana hilangnya irama kedamaian yang sering kaucipta, yang kaualunkan penuh kesyahduan, mendayu-dayu membelai penuh keasyikan, yang tinggal seakan sebuah nyayian kekecewaan, dendangan penuh kelukaan, perit pedih menyiat dalam-dalam, dan aku merasakan kamu semakin menjauh, melerai ikatan keharmonian...

CNM, 21/7/13, THMK

ISTIMEWANYA MALAM 27

ISTIMEWANYA MALAM 27

Suasana malam
gelap dan kelam
panjut buluh di reka
pemberi cahaya
menghambat bahaya
kisah zaman silam penuh nostalgia
amalan tradisi setiap kampung dan desa
sememangnya sudah tersurat
dicatat dalam riwayat
sesiapa yang membawa cahaya
akan diterangi kuburnya

Kanak-kanak bersorak gembira
percikan bunga api pelbagai warna
dentuman bedil menggamit suasana
surau dan masjid meriah ceria
suara qari mendayu-dayu
lafaz ayat-ayat suci sungguh merdu
dalam irama penuh menusuk kalbu

Istimewanya malam yang tiada tandingan
detik keemasan setiap individu beriman
mereka bertasbih merebut syurga
yang dijanjikan oleh-Nya
Malaikat Jibrail menebarkan sayap hikmahnya
turun ke bumi mengaminkan doa
setiap muslim yang khusyuk bertakwa

Saat bila datangnya
tiada siapa dapat menduga
bermunajat berterusan sepenuh jiwa
semoga mendapat hidayah daripada-Nya

Masjid Jamek Petra Jaya, Kuching

20 Julai 2013

Sunday, July 21, 2013

50pp: berkarya

50pp: berkarya

...bait-bait pujangga mengesan jiwa, indah tersusun kata, bijak bermain metafora, gelojak rasa, lahir dari amarah yang bergelora, terzahir dalam bicara maya, buat tatapan para pembaca, andai mampu mencipta, nukilan yang mesra, itu lebih bermakna, tidak disulam emosi menggila, ia hadir dari jiwa yang aman sentosa, dinikmati peminat setia, senyuman diperaga...

CNM, 21/7/13, THMK.

50pp: Madah Bercabai

50pp: Madah Bercabai

...sungguh ramai yang kaya raya, memiliki harta sampai ke luar negara, kalau bercuti tentu ke Amerika, makan di restoran antarabangsa, kereta tak terkira, pelbagai jenama, dari warna merah hingga warna jinga, tapi hubungan sesama tak dijaga, tak bertegur sapa, memandang sebelah mata, ingatlah di hadapan-Nya nanti adakah masih kaya raya?...

CNM, 21/7/13, THMK.

GADIS MISTERI

GADIS MISTERI

Pada setangkai embun
wajah gadis misteri
imejan pelangi
sembunyi

atas kanvas rasa
kususun aksara warna
mengukir puisi
serlah gadis kaca
bingkai ilusi

andai nyata
tinta ini bebayangmu
biaskan kerlipan bintang
aku mengerti
kaulah bidadari

yahyaisa
Segamat Johor
21072013 (12 Ramadan 1434)

PRK KUALA BESUT

Alisyawawa Jb
PRK KUALA BESUT

Perangai macam ni
Rela aku lari darimu
Kerana aku tak mahu hanyut

Kau memang tak guna
Umur semakin meningkat
Aku dah pesan banyak kali
Letih aku menasihatimu
Aku rela tiada kawan sepertimu

Bersahur jarang sekali
Esok dah nak puasa lagi
Senyummu membuatkan aku geram
Umpama kerang basi
Tunggulah pembalasan dariNya nanti

Berpuasalah kita di bulan Ramadan

MUNAJAT SYUKUR

MUNAJAT SYUKUR

Subuh mendekap dingin
resah kulemparkan ke pintu pagi
doaku hanyut di sejadah syukur
dalam munajat dan tafakur panjang
kupisahkan gejolak rasa
untuk sebuah damai
ketika wiridku usai
pada sujud yang terakhir.

Qalam Bertinta
Klang
21072013
0509am

Laut Kasih 292


hamparan permaidani baldu
terentang menunju kamar laut kasihku
sang ratu pujaan menuggu
menanti hangat cumbu
lena dalam mimpi yang satu
waktu ke waktu...

CNM, 21/7/13, THMK.

Pelangi Bernafiri



Saturday, July 20, 2013

EMOSI

EMOSI

Ke kedai nyonya membeli kelapa
kelapa muda darilah sawah
dosa bertanya kerana alpa
mabuk menduga kesetiaan ukhuwah.

Dalam cawan ada cendawan
tambah lada ke solok ikan
dalam berkawan tetap berlawan
gurau senda bagai tusukan.

Senja merah jingganya cerah
cantik suasana warna dunia
bila anugerah suatu yang indah
tiada kuasa menolak kurnia.

Tali berantai rentang di titi
kedidi hinggap di Paku Aji
tapi andai disalah erti
mengharap budi mendapat keji.

Makan nasi berlauk haruan
nasi kandar di rumah kenduri
bila emosi memakan tuan
elok menghindar membawa diri.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
19 julai 2013

TERCABARKAH SABAR

TERCABARKAH SABAR

Petang yang menyengat
matahari seakan membakar ubun-ubun
sepertinya cuba menelah sabar
dalam minda yang terbakar
dalam jiwa yang tercabar.

Petang yang membakar
usah dicemuh butiran keringat
biar butirannya menghamiskan tubuh
ada titisan syurga di situ
untuk menyiram nyalaan neraka.

Qalam Bertinta
Klang
20072013
1535pm.

24434: DEMI MASA.

24434: DEMI MASA.

Bersolatlah kamu
sebelum kamu disolatkan pula
ditalkin di pusara sepi
berjubah kain kafan
merayu waktu dikembalikan kepadamu.

Sazalee Sulaiman ... 20/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

monolog awan

monolog awan

aku
telah pun
menyerap menyerak
bahang mentari yang membakar
pun juga mengandungkan titisan air
membawa ke hulu ke hilir
bagi membasahi bumi yang kering
menyubur tanah-tanah gersang
menyegar dedaun layu
tapi mengapa
sayup kedengaran keluh kesah
dari makhluk sebaik kejadian...

CNM, 20/7/13, THMK.

50pp: setelah

50pp: setelah

...setelah menyaksi mentari pagi menyinar dengan sekuntum senyuman, setelah melihat pepohon hijau melambai damai, setelah melihat awan gemawan berarak ke ufuk senja, setelah mendengar nyanyian keriangan unggas membawa pulang rezeki, setelah disimbah bayu lembut yang menyamankan, setelah berimiginasikan keindahan alam sekeliling, dia tetap tidak hadir, dan hanya nukilan ini kupersembahkan...

CNM, 20/7/13, THMK.

MALAM BULAN PESTA

MALAM BULAN PESTA

KINI TELAH MALAM BULAN PESTA
PESTA SEPUAS HATIMU
USAH HIRAU RAJUK MATA
KERNA RAJUKNYA PASTI TIDAK KE MANA.

MARILAH KITA BERDAKAPAN MESRA
BILA LAGI MAHU DIRANGKUL MESRA
INIKAN BULAN PESTA
BULAN KITA MERAIH NIKMAT SEPUASNYA.

HEI! ENGKAU DI SANA
BANGUN … BANGUN … BANGUN
MENGAPA MASIH DIULIK LENA
DIBUAI MIMPI SIA-SIA
BUNUH MIMPI ITU
KERNA MENGGANGGU
MALAM BULAN PESTA KITA.

MALAM INI PASTI TIDAK SAMA
DENGAN MALAM-MALAM SEBELUMNYA
MALAM INI PENUH KEASYIKAN
LANTUNAN GEMERSIK SALAWAT
BERGEMA DI DASAR TASIK SANUBARI
TERPERCIK KETENANGAN - KEDAMAIAN
ALUNAN ZIKIR MERDU
DI BUAI MELODI INDAH
MENERBANGKAN HATI KE PUNCAK PESONA
BAIT-BAIT KALAMULLAH
DIDENDANG SEPENUH RAGA – SYAHDU - MENGGETARKAN
MENARILAH JIWA DI TAMAN FIRDAUSI
LANTAS TERBARING PUAS DI HAMPARAN CINTA
CINTA PADA-NYA TUHAN YANG ESA.

MALAM BULAN PESTA BARU BERMULA
USAH SIA-SIAKAN DENGAN PERCUMA
ENTAH KAPAN KITAKAN BERSUA KEMBALI
DENGAN MALAM BULAN PESTA RAMADHAN
BULAN YANG MENJANJIKAN SEJUTA GANJARAN.

NUKILAN RASA;
TOKBATIN SHAM
190713; JUMAAT; 10:09 HRS
SEKSYEN 26,SHAH ALAM

24434: FADILAT.

24434: FADILAT.

Usainya Subuh
cergas berlayar mencari Zohor
tegap bertemu kasih-Nya Asar
kembalinya rukuk Maghrib
melewati Isyak mataku merayu.

Sazalee Sulaiman ... 20/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan

MENJAUHLAH KAMU DARI ANUKU.

MENJAUHLAH KAMU DARI ANUKU.

Maafkan aku
bicaraku mungkin agak sinis
tajamnya tidak berlapik
sarkastik pisau berkarat
berendaman kasturi bisa
berbirat, musibat, menghambat.

Ingin aku katakan
aku bukan berjenis krustasea
dari keluarga artopod
yang tiada bertulang belakang
melentuk liuk
di pangkuan jantan pemuas malam.

Aku juga bukannya araknid
jenis haiwan merayau
berpasang-pasang kakinya
mencari mangsa
untuk dihisap manis sumsum
di hamis kelangkang betina.

Aku umpama tabtibau
berkicau di dahan-dahan tinggi
berkepak ke sana ke mari
mencari ilham
buat santapan minda sepi
melayari mimpi.

Kerana itu
usahlah mendekati aku
dengan beragenda semalu
berduri tajam meracun tapak ilham
berbuluh kasap
hujung hilang pangkal lesap.

Kerana diriku
hanyalah seorang pujangga
tidak lebih dari itu
juga bukannya pemuas nafsu
insan-insan berkepialu
di otaknya, jerebu.

Usahlah mencuit anuku.

Sazalee Sulaiman ... 20/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Membelah

Membelah

membelah rindu
tanya pada diri adakah termampu mengagih rindu
sebelum memaknai erti ketulusan rindu
yang kirim di angin lalu
sang perindu yang menunggu...

membelah kasih
tanya pada diri adakah termampu membahagi kasih
sebelum menyelami kedalaman cinta putih
yang disemai ke sukma terpilih
sang pencinta yang menagih...

CNM, 19/7/13

DOA

DOA

Mendulang rahmat
memohon pada Illahi
hidup bahagia

tunduk berserah
munajat hamba abdi
reda dicari

yahyaisa
Segamat Johor
20072013 (11 Ramadan 1434)

LEPASKAN

LEPASKAN

Waktu dulu memang kita berkasih
kita ikat janji
kita simpul rindu
tapi hanya dalam bisu

kasih kita hanya pada pandang mata
rindu kita pada lirik senyum manja
cinta kita pada debar getar di dada
...kita tetap mengerti maknanya

hari ini kita terasing
ada jiwa yang terjarak
ada retak yang tak goyah
ada hati yang dimiliki

kita tamatkan kisah lama
kita sidai derita agar kering air mata
kita jemur sengsara agar sinar baru terus memancar

selitkan secebis senyum di tingkap langit untuk kenangan kita
yang selebihnya...lepaskanlah
; renunglah dia yang nyata

~danhayati~
200713 01:26am

SERAMBI RAMADAN.

SERAMBI RAMADAN.

Dalam kuah ada isi
dalam isi ada hati

eloklah berbahagi-bahagi.

Segenggam penumbuk
segumpal nasi

lebih indah bila berkongsi.

Kelok hati samudera dalam
langit tinggi rasa sejengkal

serambi Ramadan memayungi

... ibadah suci
di hati.

Sazalee Sulaiman ... 20/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

PERCIKAN DARAH PEJUANG BANGSA

PERCIKAN DARAH PEJUANG BANGSA

Hamparan yang luas ini
dari Sebatek ke Langkawi
adalah pusaka moyang kita
cucu piut diamanah mengatur rencana
menggalas tugas tanpa prasangka
kerana mereka telah memerah tenaga
maka lahirlah sebuah negara bangsa
tanpa darah merah mengulit mimpi ngeri
hanya rundingan berdiplomasi

Petualang-petualang durjana
gigih memalit nanah dan noda
resah dan gundah anak-anak watan
bukan calang-calang pengorbanan
demi maruah dan kedaulatan
benteng kukuh kubu perkasa
perisainya besi waja
berteras peluru dan senjata

Sesekali bumi leluhur merekah lelah
darahnya tumpah
gugur dan rebah
bukan korban kecundang
hanya korban yang malang
percikan darah pejuang bangsa
akan mengharum di teratak mega
luahan bunga simpati
layu di persada pertiwi
renjisan mewangi kasturi
pusaramu akan dihiasi
catatan indah puisi
terpahat teguh kalimah suci

Kepada bakal perwira negara
jauhi segala bimbang dan curiga
yang bersarang di jiwa
begitu besar khidmat dicurah
bukan mengejar segala anugerah
kerana ia hanya nilai tambah
yang melunas penat dan lelah
yang penting ikhlas dan setia
kepada negara tercinta
mohon restu Yang Maha Esa

Kem Penrissen Kuching
19 Julai 2013

Engkar dalam Taat

Engkar dalam Taat

kucontohkan;

i. pemandu
kekal memasang tali pinggang keledar
tapi melanggar lampu isyarat merah
lalu berlanggar
berlaku tragedi berdarah.

ii. isteri
kekal menjaga maruah diri
tapi keluar rumah tapa minta izin suami
lalu dicurigai
berlaku tragedi berkelahi.

iii. hamba
kekal berpuasa menahan lapar dahaga
tapi gagal memyempurnakan solat, membuka aurat, tak berzakat
lalu diterimakah amalan
kerana keengkaran yang disengajakan.

CNM, 19/7/13, THMK.

DUGAAN

DUGAAN

Duhai mata
Semakin memberat
Puas kutongkat
Mata mengantuk
Lalu kuusap perlahan
Mulut menguap
Mencari kopi
Buat penahan
Kantuk yang bertandang

… aku berpuasa

Shaheen
19072013

BONGKAH HALOBA

BONGKAH HALOBA

Hidup ini semakin hitam
dihentam dosa yang berkerikil
lupa pada kematian
di bawah payung taubat yang kosong
harapan sebuah kehidupan
dikejari malam dan siang
menapak dalam nafsu haiwani
sasaran dunia kian lahap
sembunyi di bawah bongkah haloba
menyuapi diri di belakang hari.

Mati yang dialpakan
menelanjangi diri tanpa sempat
membungkus bekal
di saat kematian itu datang
tanpa perisai penghadang
menghalang habuan takdir.

SZA KAM
Tapah 19.7.13

PANTUN MENJELANG LEBARAN

PANTUN MENJELANG LEBARAN

Seronok sungguh tarawih berjemaah
ke masjid kita sama berkunjung
pasang pelita keliling rumah
lampu kelip-kelip penghias anjung

Hantar kuih ke rumah Cik Jun
bawa bersama sambal paru
seronok sungguh bermain mercun
sambil mencuba sepatu baru

Jiran sekampung ramah tamah
saling tegur sapa menyapa
ceria hati mengemas rumah
lagu raya jangan dilupa

Terkenang-kenang masa dahulu
zaman kecilku penuh meriah
ibu sibuk membakar bahulu
kakak memasang langsir merah

Ketupat rendang silalah makan
ada juga biskut kelapa
mohon maaf setiap kesilapan
duit raya jangan dilupa

Cahaya Laila
Klang Selangor
19 July 2013

MAINAN PESONA

MAINAN PESONA

Hidup ini mainan pesona
banyak kepura-puraan
yang menyamar
menindih keaslian diri
membangunkan kecurangan
menegakkan keegoan
terpacak menikam kehidupan.

SZA KAM
Tapah 19.7.13

BEBINTANG SEMALAM

BEBINTANG SEMALAM

Bebintang yang kauhadiahkan semalam
kujadikan mahar melamar mentari
untuk putera subuh
bagi sebuah perjalanan bererti
mewarnai diri

yahyaisa
Segamat Johor
19072014 (10 Ramadan 1434)

RINDU PUN BERSATU

RINDU PUN BERSATU

Di labuhan malamku
ada rindu yang terpaku
lalu kuselak helai demi helai
bilah-bilah malam
untuk mencari sangkar hatimu
agar dapat aku diam di sana
dan menggamit rindumu
lalu bersatu.

Qalam Bertinta
Klang
18072013
2341PM

SIMFONI RAMADHAN

SIMFONI RAMADHAN

Kau tunggu apa lagi
raikan simfoni ini
awalnya rahmah,
pertengahannya maghfirah
penghujungnya pembebasan
istimewanya satu "malam penetapan"
lebih baik dari seribu bulan.

Kau fikir apa lagi
akarnya "menyengat dan kekeringan"
"panas terik" dari kata harfiah
sebagaimana matahari membakar tanah
seumpama itu membakar dosa dan amarah.

Mari kita tebarkan serawan jala
pungutlah sepuas dan semahunya
dikala 8 pintu tertutup 8 pintu terbuka
keberkatan darjat bertingkat terbentang seluasnya.

Hari ini bersama Ramadhan
masih diberi kesempatan
bersyukurlah dan sandingkan
syahadah nafi dan isbat
sebagai tali pegangan
menempuh kehidupan.

Raikanlah
simfoni Ramadhan
sementara masih di perjalanan.

.
Angah Arie
Diari Jingga, Seremban
02082011 13:50

C

C

Culas
cemarkan imej peribadi
cerminan tak menjadi
cemerlang jauh sekali
cacarmarba terjadi

Celika
cerita tetang kemalasan
ceroboh etika pekerjaan
cuai dalam tugasan
comot perjawatan

Cutel.

CNM, 18/7/13

WILAYAH ILMU

WILAYAH ILMU

Aku pernah bermastautin di wilayah ilmu
duduk di atas timbunan buku-buku
menapak di atas hamparan baldu biru
lalu mentelaah naskhah demi naskhah
atas tuntutan naluri yang kian mendesah

Jari-jemari mesra mengetuk biji-biji aksara
kuyu mata menatap layar mutiara
lalu berpinar-pinar jadinya
peluh dingin membasahi seluruh badan
itu tanda lambakan tugasan
menunggu untuk dilangsaikan

Bangku siber kafe semakin hangat
melayari maya penuh semangat
ruang DK sentiasa padat
wajib hadir setiap kuliah bersemuka
merungkai segala kebuntuan yang nyata
menyelesai persoalan yang mendera minda

Puncak menara bersalut kepingan permata
mencakar angkasa raya
lambang kemegahan semua
membakar semangat dan jiwa raga

Tiba saat yang dinanti
berjaya menyarung jubah dan topi empat segi
segulung ijazah digenggam rapi
berkat usaha tanpa jemu
longlai kaki meninggalkan wilayah ilmu
belum selesai perjuangan ini
akan diteruskan suatu ketika nanti
Insya-Allah berkat doa dan munajat
akan tercapai hasrat.

SMK Serian
18 Julai 2013

BICARA HATI [ii]

BICARA HATI [ii]

Malam nan sepi, mengajak minda berkelana.
Mencari-cari sejalur cahaya dalam kelam.
Kelihatan sinar jauh di hujung sana.
Ingin digapai tak sampai jejak.
Hanya melihat dalam anganan.
Duduk termenung menanti masa.
Mengharap takdir membawa diri ke hujung sana.
Hanya Dia Yang Maha Mengetahui,
akan hikmah dalam dugaan menguji.
Sabarlah diri, menanti datang rahmat Illahi.
Tabahlah hati, menanti bahagia...

===Tinta Rasa===
LizaIsma/18 Julai 2013_9 Ramadhan 1434H

SENANG.

SENANG.

Aku senang
bersendiri
bertugas di tengah malam
bertemankan sunyi
suasana.

Aku senang
bersendiri
bertemankan komputer riba
melayari rasa hati
berpuisi.

Aku senang
bersendiri
tanpa kekasih di hati
menemani kursi
kembara.

Aku senang
bersendiri
tiada yang tersakit hati
sandiwara sepi
maya.

Yang penting

aku senang
bersendiri
kerana aku pasti
isteriku
tidak akan, sakit hati.

Aku senang begini-begini.

Sazalee Sulaima ... 19/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

RINDU.

RINDU.

Rindu akukah
atau rindu akukukah
yang pastinya
aku rindu
akumu dalam aku.

Sazalee Sulaiman ... 19/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



Tangan Nafsu

Tangan Nafsu

tangan nafsu
tanpa segan silu
menconteng arang ke muka kalbu
bebal menongkah wahyu
mengheret songsang dari diredai Yang Satu

tangan nafsu
mengikat keinsafan ke perdu
kunci ke pintu kebenaran dipalsu
mengaburkan jalan direstu
melambai ke lembah berdebu

tangan nafsu
melakar garis-garis sendu
kekal terlanjur melukis keliru
hidup terumbang di lorong berliku
terkumpul catatan kelabu...

tangan nafsu
angkatlah telapak ke langit biru
mohon keampunan sucikan dosa lalu
sesungguhnya pada Dia tempat mengadu
nescaya tangan nafsu tunduk malu.

CNM, 18/7/13, THMK.

Thursday, July 18, 2013

PENGATUR ABJAD ITU AKU

PENGATUR ABJAD ITU AKU

Aku cuma pengatur abjad
dan kurangkaikan baris demi baris
dalam rangkap yang berbeza
namun punya cerita yang sama.

Mungkin tarian kita berlainan
kerana kita juga berbeza
dari keberuntungan yang ada
dengan aku berada pada tahapku
sedangkan tahapmu
sudah tinggi menjunjung langit.

Namun kita di lorong yang sama
punya cita dan punya rasa
pimpinlah aku untuk bersamamu
agar dapat kutarikan
tarian yang senada denganmu
moga kita akan seiring
melalui lorong ini
tanpa sinis
tanpa keegoan.

Qalam Bertinta
Klang
18072013
1101am

SERPIHAN MIMPI

SERPIHAN MIMPI

Aku terbangun dari igauan
mencari-cari di mana
serpihan mimpi yang berserakan
menunggu masa untuk lenyap
hilang ditelan kabus diri.

SZA KAM
Tapah 18.7.13

MERADANG.

MERADANG.

Radang aku kerana kamu
radang kamu kerana aku
radang aku radang akumu
radang kamu radang akuku.

Sazalee Sulaiman ... 18/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Lelaki

Lelaki

saat engkau berpergian
keluar di awal pagi
mencari segedung rezeki
ingat di belakangmu menanti anak isteri
penuh harapan tak pasti...

lelaki
jangan sesekali engkau curangi
sepanjang waktu yang mereka restui
jangan mereka engkau khianati
cuba memasang angan berpoligami...

lelaki
jika helahmu diketahui
maka kamu telah memasang unggun api
kelak akan membakar harmoni
kamu didendami hingga mati...

CNM, 17/7/13, THMK.

HARI LEBARAN

HARI LEBARAN

Salam Ramadan
hari raya menjelang
bersuka ria

hari lebaran
berkumpul sanak saudara
bermaaf-maafan

zakat fitrah
membantu yang lemah
kewajiban kita

yahyaisa
Segamat Johor
18072013 (9 Ramadan 1434)

MUHASABAH

MUHASABAH

Mengalir
Lesu di pipi
Tangisan keinsafan
Atas segalanya
...yang pernah kulakukan
...yang pernah kukatakan
...yang pernah kufikirkan
...yang bakal terjadi
Hanya Engkau yang tahu

Hanya pada-MU
Doaku panjatkan
Kubermohon
Di Ramadan yang mulia ini
Agar aku
Kembali ke jalan-MU

...seputih kapas

Shaheen
18072013

KETENTUANMU

KETENTUANMU

Lewat musim itu
Ketika dedaun berguguran
Kenangan lalu
Menggamit memori

Semua yang berlaku
Ketentuan-Nya
Siapalah diri ini
Mahu mempersoalkan

...hadapi dengan reda

Shaheen
18072013

EPILOG EPIGONI III : Parasit Cinta Disula

EPILOG EPIGONI III : Parasit Cinta Disula

Embun di hujung nyawa, menangis mengenang nasib
saat itulah suria pagi terbit, sebenderang cahaya.
Di atas langit, Kuasa merenung bumi
dan di balik awan, penuh dengan cerita-cerita dunia
sebelum bertemu senja.

Epilog epigoniku, melihat berbagai warna, dalam mimpi-mimpimu
puisi baru, sebuah lagu lama, parasit cinta disula.

~
Dedaun kecewa gugur menjamah bumi sekian lama.
Kabur sehingga bertukar wajahnya, kian gugur lagi.

Kualirkan, kupusing dan kuadun
segenggam penggamit yakin
setitis ertinya tabah dicampur
menjadi baja pengajaran.
Duka dendam sakit hati
tinggi meninggi membusung.

Kusemaikan pohon cinta bersiramkan pengalaman berbajakan pengajaran
tumbuh subur mekar segala parasit, disula cintaku abadi.
~

Aku melihat, memahami, menghayati
kronologisnya siasah cinta
berjuta-juta kata, bersiduga melamar sabda pendita
mungkin kita juga, masih dalam dunia kaca
lena berdagang dengan saudagar mimpi-mimpi kita
dengan memilih jalan-jalan sesingkat senang
sedang mereka di luar sana mengharungi jalan bercabang
kisah-kisah yang panjang
rindu-rindu yang walang
harap-harapan yang tiada jelang.

Aku merasa
akal, nyawa dan saksiku, berlegar-legar di nyali
disuntik tak henti-henti : Picagari.
Dunia rencam rasa kita, adalah pilihan kita
dibiar berkaca
digilap bercahaya
di tangan, sangat berharga.

Ah ... duhai jiwa
keluarlah dari kepompong itu
melihat dunia baru.

.
Angah Arie
Seremban 110313 21:00

Sombong

Sombong

Jangan terlalu sombong
orang menyapa, jawaplah
waima tak suka sekalipun
waima menyampah sekalipun
biarpun dijawap dengan sindiran
itu lebih baik dari membatu
macam orang dungu.

Mungkin lupa tentang adab
'gong-gong' di kawasan anjing
'moo-moo' di ladang lembu
mbek-mbek' di kandang kambing
mungkin juga telah lupa
kadang-kadang menumpang tak kena gaya.

Maka
kembalilah untuk sedar
akan diri anda itu siapa?

.
Angah Arie
Seremban 170313

KALA MALAM MENJEMPUT RINDU.

KALA MALAM MENJEMPUT RINDU.

Kala malam
aku kesunyian
berteman komputer riba
di atas meja
berbangku usang

menilik langit
menerawang seorang
bersendirian,
engkau menjelma
bak bayang-bayang

meragut rindu
menyentuh kalbu
di tangkai sendu
menggaru
ketenangan diriku

... menjemput kenangan lalu,

engkau tersenyum
di sebalik langit syahdu
memandang
wajahku.

Mengganggu lamunanku.

Sazalee Sulaiman ... 18/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MAWAR PUJAAN HATIKU.

MAWAR PUJAAN HATIKU.

Siapalah aku
ingin memetik
dirimu, wahai mawar
dan menjadikan kamu
mawar milikku
lantas menghiasi
kamar cinta
di hatiku.

Biarlah, cincin
yang aku kalungkan
di tangkai berjemari dirimu
bertatah sunyi
tiada berseri
hanya menjadi penghias
kelopak rindu
yang tiada berwaktu.

Dan biarkanlah
aku hanya menjadi pemujamu
yang sejati
untuk aku renungimu
wahai mawar
di saat sepi, memalu rindu
di saat sunyi aku terkenangkan
dirimu

... mawar pujaanku.

Sazalee Sulaiman ... 17/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

JANJI IKRAR BERSAMA

JANJI IKRAR BERSAMA

Adapun jasadnya kita jauh
Terasa dekat
Bila hati menyulam rindu

Pada ungas kau kirimkan
Bisikan kata rindu
Bergema di angin lalu
Lalu kusisip ke danau hati

Purnama berlalu
Tiba musim menuai
Rombonganmu tiba
Mengotakan janji
Bersama tepaknya

Bahagia
Yang kita damba
Menyapa kita
Mengelilingi kita
Moga selamanya
Bahagia milik kita

..mohon pada-NYA

50pp: Senyum

50pp: Senyum

...Senyum itu indah, senyum penakluk jiwa, senyum mengoncang sukma, senyum mengetarkan dada, senyum jadi pengubat luka, senyum bisa mereda amarah, senyum petanda menerima, senyum pemberi jawapan, senyum bahasa menyata, senyum memungkin kemaafan, senyum baja kasih sayang, senyum menyubur kedamaian, senyum gambaran sebuah kemesraan, senyum tak ternilai harganya, jangan lupa senyum...

CNM, 17/7/13

HADIRMU

HADIRMU

Kauhadir
Membawa sinar
Pengikat kasih
Ibu ayah

Senyum tawamu
Penawar rindu
Bila ayah jauh darimu

Membesarlah kamu
Menyejukkan hati ibu
Juga ayahmu
Agar dirimu
Di dalam lindungan-NYA selalu

Shaheen
17072013

2B7K: Pesanan

2B7K: Pesanan

kata ibu jangan dibantah
kelak membawa padah

Shaheen
17072013

50pp: janji

50pp: janji

...lupakah pada janji, yang terucapkan setelah kiam mengangkat takbir, janji bahawa hidup mati hanya kerana Dia, jika kerana Dia, mengapa dipersenda titah dan perintah-Nya, tidakkah itu engkar dalam taat, berpuasa tanpa solat, berpuasa tanpa menutup aurat, berpuasa tanpa mengeluar zakat, di manakah ketulusan janji, atau hanya pengucapan yang tak bererti...

CNM, 17/7/13, THMK.

DALAM MAKNA CINTAKU

DALAM MAKNA CINTAKU

Lalu kelambu rindu pun kulabuhkan
biar damai lenamu tanpa gigitan resah
agar curiga juga tidak menjadi bunga tidurmu
dan aku akan terus menyelimutimu
dengan gebar cintaku
moga dapat engkau maknainya
betapa cintaku ini
terlalu besar buatmu

…dan di ujung ranjang itu
aku menunggu jagamu
agar dapat kubisikkan
bahawa engkau akan sentiasa kutunggu
dan aku akan terus menunggu
hingga ke akhir waktuku.

Qalam Bertinta
Klang
17072013
1103am

HADIRNYA DI SINI

HADIRNYA DI SINI

Hadirnya dengan wajah penuh ceria
segugus senyuman ramah dan mesra
butir-butir mutiara bersinar kemilau cahayanya
sehelai selendang terpalit wangian menusuk sukma

Hadirnya membawa berita tulus
baris demi baris aksara yang telus
dengan rangkap bermadah memikat hati
dengan helaian-helaian dari kalimah suci
dilafaz dengan alunan suara menambat nurani

Hadirnya membawa lagu yang merdu suara
lirik demi lirik didendang dengan indah irama
lemah gemalai tingkah tarinya
pukulan rebana dan gesekan biola
sungguh mempesona

Hadirnya merungkai kontroversi
hadirin selama ini sering dihantui
dakyah-dakyah yang memesong ideologi
surat izin pegawai penguatkuasa
agenda diteruskan seperti direncana
tanpa rasa prasangka

SMK Serian
17 Julai 2013

Ramadan

Ramadan

...dan jika tidak disebabkan sebilangan para ibadah,
menunaikan puasa dan kekhusyukkan dalam solah;
memakaikan jiwanya dengan wirid tunduk syahadah,
pasti bumi telah lama bergoncang tanda amarah,
lantaran masih ramai antara kita yang tidak betah;
untuk meminggir derhaka pada Dia Yang Maha Pemurah...

10PP: MANISNYA GULA

10PP: MANISNYA GULA

Pujian serta sanjungan itu berbahaya, kadangkala membawa racun membinasa; berwaspada.

~AE/17JULAI13~

wanita

wanita

sungguh mulia
tabah taat dan setia
tunjang kekuatan lelaki berjaya
tunjang sebuah keluarga bahagia
mempertahankan hak ke hujung nyawa..

wanita
jangan mudah terasa
ia jadikan lebih mudah dalam berbicara
buang emosi junjung rasional
itu kelihatan lebih profesional...

CNM, 17/6/13, THMK.

MAWAR INGIN BERDIKARI.

MAWAR INGIN BERDIKARI.

Biarlah
mawar mahu berdiri sendiri
mawar tidak perlu dilindungi
mawar ada tajamnya duri
sebagai pelindung kelopak sepi
dari si kumbang jati
dan ulat yang menghampiri
ingin mendampingi
ingin menodai
walau relung tangkainya sunyi
sirat di isirongnya acapkali disakiti
akarnya tetap memijak bumi

... tidak perlulah aku menyibukkan diri
mawar ingin berdikari.

Sazalee sulaiman ... 17/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

4, 2, 3 DAN 4 KEMBALI.

4, 2, 3 DAN 4 KEMBALI.

Merangkak
berjalan
bertongkat
dan merangkak
kembali.

Sazalee Sulaiman ... 16/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

PENGHULU

PENGHULU

di sini di maya
yang masih bernafas panjang
berjalan di atas lantai masa
waktu tidak pernah tinggal terbuang
penghulu menggamit seluruh hamba
seraya menyapa dia bilang
saat sudah tiba
selepas azan berkumandang
juga di antara celahnya bayang senja
nadi menghela degup jantung
penghulu menjemput selamat berbuka puasa.

Bayu.
Mersing,Johor.
160713.

SUNGAI INI

SUNGAI INI

Sungai ini panjang tapi berliku
dalam peta tampak macam ular kena palu
aliran airnya sungguh deras
keladak, pasir dari hulu dibawa pantas
menuju muara
lalu mendap di sana

Di hulunya kerikil yang tajam
setiap kembara perlu berjinak dengan jeram
hilang kawalan bot boleh karam
terlebih muatan boleh tenggelam

Nadi penghuni pedalaman
beras wangi minyak engkabang
ikan kelah mampu dijinakkan
sumber rezeki lumayan

Anak-anak dididik menjadi dewasa
tenaga pengajar bersemangat waja
walaupun di hati kecilnya
cemas dan gundah berbaur lara
lambaian tangan nestapa
sebak dada yang lara
namun atas tuntutan tugas hakiki
telah ditandatangani
akujanji sudah dilakri

Menyelusuri sungai ini
perlu cekal mental dan emosi
korban yang malang di perantauan
takdir Ilahi yang menentukan

SMK Serian

16 Julai 2013