PERCIKAN DARAH PEJUANG BANGSA
Hamparan yang luas ini
dari Sebatek ke Langkawi
adalah pusaka moyang kita
cucu piut diamanah mengatur rencana
menggalas tugas tanpa prasangka
kerana mereka telah memerah tenaga
maka lahirlah sebuah negara bangsa
tanpa darah merah mengulit mimpi ngeri
hanya rundingan berdiplomasi
Petualang-petualang durjana
gigih memalit nanah dan noda
resah dan gundah anak-anak watan
bukan calang-calang pengorbanan
demi maruah dan kedaulatan
benteng kukuh kubu perkasa
perisainya besi waja
berteras peluru dan senjata
Sesekali bumi leluhur merekah lelah
darahnya tumpah
gugur dan rebah
bukan korban kecundang
hanya korban yang malang
percikan darah pejuang bangsa
akan mengharum di teratak mega
luahan bunga simpati
layu di persada pertiwi
renjisan mewangi kasturi
pusaramu akan dihiasi
catatan indah puisi
terpahat teguh kalimah suci
Kepada bakal perwira negara
jauhi segala bimbang dan curiga
yang bersarang di jiwa
begitu besar khidmat dicurah
bukan mengejar segala anugerah
kerana ia hanya nilai tambah
yang melunas penat dan lelah
yang penting ikhlas dan setia
kepada negara tercinta
mohon restu Yang Maha Esa
Kem Penrissen Kuching
19 Julai 2013
No comments:
Post a Comment