Followers

Carian Dalam Blog Ini

Monday, December 10, 2012

MUSAFIR DAN HARAPAN

MUSAFIR DAN HARAPAN

Musafir melangkah lesu, perjalanan berliku
meletihkan, antara ranjau duri, kerikil tajam
yang menusuk, kekeringan denai gurun mengundang dahaga
mencari dan terus mencari sekelumit makna
halutuju kehidupan,
biar diselimutkan dedebu prasangka, tujahan
serpihan mentari dilontar yang membakar.

Berbekal semangat tersemat, keikhlasan
iltizam atas jambatan kesabaran, membawa
segunung harapan
langit kedamaian, awanan impian seputih kapas sutera
setulus rasa
hamparan kehijauan pepohon akal
beningnya cetusan segar ilham mengalir
dari pergunungan keyakinan melalui sungai minda
bebas lepas bukan derhaka.

Biar empangan konkrit menghadang
ruang seni bebatu pejal, tegal dilalui
kerana tanah ini tidak rata, gaung berbahaya
musafir akan terus melangkah dan berbisik,
bermonolog pada diri
sepuluh jari ditadah
hanya DIA tempat mengadu
kembalilah kedamaian,
ketenangan dan
kemakmuran

Agar tercatat sejarah, anak cucu tidak marah
kerana menggadai maruah, malah
kembali gah dipersada.

YHI
Segamat Johor
10122012

No comments:

Post a Comment