Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, December 9, 2012

Puisi : Anugerah Nikmat Bernama Kesakitan.

Puisi : Anugerah Nikmat Bernama Kesakitan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pelindung Maha Menguasai Segala Urusan.

Dalam melayari bahtera kehidupan
yang merona pelbagai kewarnaan
dalam pelbagai jenis keanugerahan
pasti akan ketemu suatu keadaan
dilimpahi bukan saja tidak berkenan
bahkan jasad diri tidak berhajatkan
ralit bermain dalam kotak pemikiran
dambaan kesejahteraan berkekalan
sebagai tanda sempurna kebahagiaan
kesakitan yang menimpa tiada nilaian
pabila tersulam adalah kesenakan
pabila tersulat adalah kesengalan
buat renungan untaian kesyukuran

kenapa harus hilang arah tumpuan?
tika sesaat mendadak terjadi perubahan
pabila tangan kanan ditusuk kesakitan
lantas menyebabkan tersasar suapan
tangan kiri mengambil alih pemerintahan
lantas anggota yang sering dilirik kehinaan
kini tanpa segan menerajui keutamaan
bukan sahaja menyempurna wuduk di kewajahan
bukan sahaja menyuap masuk enak hidangan
bahkan turut membantu gerakan tangan kanan
selama ini berkuasa dalam setiap keadaan

tatkala Kun-Fa-Yakun menarik kesihatan
kesemua gerakan jasad menjadi perlahan
bagaikan sudah lama menangung kecacatan
bagaikan sudah lama menampu kesulitan
adakah pada-Nya solat masih didirikan?
bermula Istighfar pohon keampunan
agar terlerai dosa berdaki dikafarahkan
pohon dikembalikan kesejahteraan
agar dapat dilanjutkan tertib ketaatan
atau yang dicari dulu pakar perubatan
atau ditagih segera bomoh kenamaan
demi meraih perhatian ihsan insan
betapa dirinya perlu di kasihan

lantaran,
jika selalu dinikmati adalah kesegaran
bila tiada dalam senarai kenikmatan
yang mula terjejas adalah kelenaan
diikuti rapat dengan selera makan
seumpama ujian itu satu keseksaan
hinggakan kabur titik kewarasan
hinggakan kendur lentik pertimbangan
yang ketara orang lain punya kesalahan
yang nyata empunya diri tiada kekhilafan
begitulah enak mencipta alasan
melihat musibah itu bukan teguran
agar terselamat dari lubuk kezaliman

arakian,
pabila berganti adalah kepayahan
pabila terhenti adalah kepatuhan
maka yang bersila adalah kelalaian
yang bersimpuh adalah kelaraan
hinggakan meraja pula kebathilan
Iblis Syaitan membunga senyuman
justeru tanpa sandaran keimanan
kesakitan mampu menjurus kefasikan
lantaran dalam tergesa meraih semula kesihatan
bergantung pada makhluk seperti tiada kesalahan
menakut pada makhluk seperti amalan dibenarkan
waima bernama ubatan atau pun pantang larangan
melampaui tanpa had bagaikan suatu kewajipan
hingga meragut segala sifat kekuasaan
Zat Yang Maha Pelapang Kehidupan
Zat Yang Maha Mengembalikan
zat Yang Maha Mengabulkan
selama ini tanpa sesaat pun tersungkur kealpaan
kekal melindungimu semenjak dalam kandungan!

Yaa Allah Muhaymin Yaa Wali Yaa Basit Yaa Mu'id Yaa Mujib!

Nukilan :
Din Kelate
21 Muharram 1434 H
6 Disember, 2012 M
Hakcipta Terperlihara

No comments:

Post a Comment