Followers

Carian Dalam Blog Ini

Tuesday, April 16, 2013

BUNTING GAJAH

BUNTING GAJAH

Bunting gajahkah ini
pertanyaan demi pertanyaan
tanpa jawapan pasti
khalayak menanti resah
tidak pernah terjadi dalam sejarah
mengandung terlalu lama

jiran-jiran mula berbisik
mungkinkah terlanggar pantang
sumpahan moyang Demang

menanti lahir putera harapan
bidan-bidan mula cemas
kalut mengatur persiapan
kerana dialah bakal pewaris
teraju masa depan

adakah mesra korporat
atau
mesra rakyat?

yahyaisa
Segamat Johor
01042013

NIHIL

NIHIL

Kosong.
Lohong.
Lompong.
Hati nian ...

Kencong.

.
Angah Arie
310313 23:13

SALAHKAH AKU

SALAHKAH AKU

salahkah aku
kalau ingin menjadi seperti detektif conan
menyiasat dalam diam
bukan nak cari kesilapan
tapi merungkai kebenaran...

salahkah aku
kalau ingin menjadi seperti doraemon
bertindak penuh santun
jarang sekali mengelamun
bukan seperti nobita
bertindak ikut suka
yang akhirnya doraemon juga yang kena...

salahkah aku
sesekali ingin menjadi seperti sincan
suka memeningkan kepala orang
biarpun yang di buat tak pernah betul
ibu dan ayah tetap di belakang sokong...
salahkah aku..

su:31/03/13:0444

MAAFKAN AKU

MAAFKAN AKU

maafkan aku
andai diri ini telah mengecewakan mu
di dalam sedar atau tidak
di dalam tawa atau tangis..

maafkan aku
andai rindu yang bertamu tidak ku sedari
seperti rintik-rintik hujan membasahi bumi
sejuk dan mendamaikan hati
sedang engkau sepi menyendiri...

maafkan aku
kerana mengabaikan mu
bukan niat menyakiti hati
cuma aku tak mahu kau kecewa
dengan perasaan yang kau cipta
yang akhirnya membuatkan kau terluka...
maafkan aku...

su:31/03/13:0145pm

~♥ Panjian cinta ♥~

~♥ Panjian cinta ♥~

Setiap langkahku yang nyata
seharum semerbak berbunga cinta
tidak mengira apa meraka berkata
inilah aku tanpa berbicara
dengan senyuman membalas tidak mengira
Alhadiat yang menentukan semua
bukan lafasan di bibir sahaja
berikrar lidah disaksikan semua
bukan hanya indah berbicara
namun panjian cinta hingga ke pintu syurga

Nagam Nukilan Pena Ilhamku ~ Kota Singa ~ 31/03/2013

Sajak: Peminpin.

Sajak: Peminpin.

Pemimpin
kaudisanjungi
tinggi,
kaudipandang
tinggi,
kaudihormati
juga dengan kehormatan
tinggi.

Pemimpin yang baik
akan menjadi idola hati
arahan diberi
akan cuba direalisasi.

Pemimpin yang dayus
pengecut
tidak akan digeruni
hanya dipandang sepi.

Pemimpin perasan
menganggap dirinya bagus
akan menjadi bahan lawak
ditertawai
badut
gelaran yang diberi.

Pemimpin yang rakus
tamak, haloba
pemimpin sebegini tidak diingini
hanya pentingkan diri sendiri
mengamalkan kroni
tembolok keluarga yang dibajai.

Pemimpin
ingatlah!
Harapan rakyat mandat diberi
pilihanraya pangkah diberi
janganlah nanti
kautidak membalasnya kembali.

Kepada rakyat
jangan ditanya apa yang negara beri
tapi tanyalah diri
apa yang telah kita beri
itulah laungan
yang sering dihasuti.

Tetapi pemimpin juga harus mengerti!
Jangan ditanya apa yang rakyat beri
tapi tanyalah diri kamu sendiri
apakah yang telah kamu beri
kepada rakyat
yang telah memberikan undi.

Ingatlah wahai pemimpin
mandat telah pun kami beri
harapan kami jangan kaupandang sepi
fikirlah sedalam-dalamnya lagi
sekali mandat diberi
tidak bermakna akan selamanya mandat diberi
seandainya, harapan rakyat kautolak tepi.

Fahamilah wahai pemimpin, kita semua berkongsi pertiwi.

ss/spl/pm ... 01/04/2013.

Belajarlah Lagi.

Belajarlah Lagi.

Tarian apa yang engkau tarikan ini
irama dan lenggok badan tiada serasi
hilang tempo dan kiraan perapi
sumbang menyakitkan mata, menyakitkan hati.

Caca bukan, tanggo bukan, samba lagilah bukan
tarian inang lagilah ... jauh sekali
ikut sesuka hati perut engkau sahaja.

"Pi balik, belajaq lagi"

"Next! ... "

ss/spl/pm ... 01/04/2013.

Orkestra Alam Maya.

Orkestra Alam Maya.

Mari sini, aku nak bercerita sikit
tentang lagu dan irama
melodinya entah ke mana
suaranya sengau
sumbang, mendatar ditala

korus, hampeh! Lintang pukang
bagai ayam dan itik berdendang sayang.

Penat ... lantak kaulah!

ss/spl/pm ... 01/04/2013.

Setitik Nista.

Setitik Nista.

Setitik hujan menimpa kepala
mendatangkan selsema
demam durjana, tubuh meronta
panas bersengketa

inikan pula setitik nista
dari kata-kata yang tercela
akan diingat

... selama-lamanya.

Pengalaman mematangkan kita.

ss/spl/pm ... 31/03/2013.

Hijab Jendela.

Hijab Jendela.

Telah terkuak jendela senja
koyak tirainya bertampal perca
cuba membela rahsia hijabnya
walau jendela luas terbuka.

Jendela terbuka camar menerpa
mencari mangsa berhijab rahsia
di waktu senja berona jingga
berkalam malam kelam durjana.

Durjana bernoda ganda bertimpa
mencarik sekam kekulit rasa
camar menerpa membawa nista
senja merindu bulan purnama.

Fahamkah si dia maksud bicara.

ss/spl/pm ... 31/03/2013.

Lamunanku Terhenti.

Sajak: Lamunanku Terhenti.

Azan subuh menyapa lamunanku
pagi tadi
saat suria mula terbit dari ufuk timur
membangkitkan jiwa yang terleka
bermandikan wuduk di tubuh dan minda
segar terasa, tak ingin terlena.

Lelah yang terkumpul
lesap, bingkas hilangnya
tatkala tawaduk menyelubungi jiwa
dipayungi kesyukuran
diberi lagi sesaat dari waktu-waktu-Nya
untuk aku, bernyawa.

Dan lamunanku terhenti di sana
ketika aku berdiri
tegar, berkiam tangan di dada
qunut bergema di jiwa
mengikut rukun solat terjaga
merapat, meluruskan saf.

Lamunanku terhenti tidak rela dikutuk-Nya.

ss/spl/pm ... 31/03/2013.

RASA HATI

RASA HATI

Membaling batu ke dalam sungai
jatuh tenggelam jauh ke dasar.
Hilang.

Membaling epal ke dinding konkrit
pecah bersepai jadi serpihan.
Punah.

Membaling hati ke langit tinggi
jatuh kembali ke dalam diri.
Lesu.

Harus bagaimana lagi, melontar rasa ini?

-LN/HN 31032013-

MALAM BURAMKU

MALAM BURAMKU

Telah kita tapaki warna-warna cinta
dengan seribu janji terpateri kemas
melalui kompromi hati yang ikhlas
lalu kita daki gunung dan bukit
menuruni lurah dan gaung
mencari laman indah bagi sebuah istana
dan kita sebenarnya
telahpun melakar rindu yang basah
sarat dengan diksi dan aksara
terlahir dalam bait yang panjang
mengadun benih kasih dan sayang.

Kini
dalam ketiadaan isyarat pasti
kau tiba-tiba menjelmakan pusingan U
membiarkan diri ini meneruskan perjalanan
tanpa bimbingan tangan yang dijanjikan
nyatanya kaukembali jua kepadanya
dan senja itu setianya bersamaku
mengambangi malam-malamku yang buram.

Embi Estar - 31313

BILA

BILA

Belum jumpa?
kenapa?
belum masa?
bila
sedang kira..
untuk apa?
cari tenaga
sengit
pasti
kalau begitu...

yhi
30032013

Berparut



...selaut air mata tangis
tak mampu mengubah tragis
luka yang telah terguris
kekal berparut tak terkikis
hentikan titis
bersikap optimis
setiap sesuatu ada manis...

CNM, 30/3/13

Usahlah Takut Pada Bayangan Kekecewaan.

Usahlah Takut Pada Bayangan Kekecewaan.

Perlu memerlukan adalah lumrah kehidupan
setiap makhluk yang bernyawa perlukan pasangan
untuk berkasih-kasihan, untuk meluahkan rasa kesepian
untuk berkongsi kehidupan di alam pernikahan.

Jadi usahlah takut untuk meluahkan perasaan.

ss/spl/pm ... 30/03/2013.

Amanat Buat Kakak

Amanat Buat Kakak

telah kami terima
hadirmu dulu
penyeri hidup
membawa bahagia
menguat kasih sayang cinta...

telah kami sedaya upaya
beri kamu ruang dan masa
membantu apa yang ada
capai jaya
demi kehidupan di hari muka...

telah kamu bawa pulang
separuh kejayaan
teruskan berjuang
teruskan kecemerlangan
dalam mencari redha Tuhan...

ibu abah amanatkan
andai kami pergi dulu
bahawa adik itu
menjadi tanggungjawab kamu
membela sebagai mana abah ibu...

sesungguhnya adik amanah buat kita dari Yang Satu.

CNM, 30/3/13

SAWA BERNAFSU NAGA

SAWA BERNAFSU NAGA

Bumi menjerit perit
kesakitan
kesan tapak-tapak dosa
penderhaka
memijak rusuk dada
menarah pusaka
bagai sawa
meratah isi tulang
tidak kenal erti puas
mengisi kantung luar dalam
rakus membaham
lidi diketepi

andai
berani membongkar hempedu
busuk sepanjang usus
pembentung
pasti telanjang
ditayang

itulah watak
wayang
sawa bernafsu naga
busuk kepala ekor serupa
melibas semua

yahyaisa
Segamat Johor
30032013

Kejujuran.

Kejujuran.

Jujurlah dalam setiap perbuatan
kerana tanpa kejujuran
kita sama sahaja dengan syaitan

... tiada bezanya.

Setiap satu pembohongan
akan mendatangkan lagi pembohongan
untuk menutup pembohongan.

Jujurlah kepada diri sendiri.

ss/spl/pm ... 30/03/2013.

Jendela Hati.

Jendela Hati.

Senja ini hujan kembali membasahi bumi
lebat sehingga membiaskan kabus di jendela
kamarku ini.

Di jendela hati, aku masih termenung
menggaru kesan gigitan
di hati.

Mungkinkah melecet nanti.

ss/spl/pm ... 30/03/02013.

~♥ Kata Cinta ♥~

~♥ Kata Cinta ♥~

Di atas altar cinta
aku ukir namamu dengan tujuh kata
menabur tujuh macam warna
bunga-bunga yang berpanca warna
di keliling tugu asmara
dengan tujuh lapisan teja
mewarnakan taman asmaradanta
mengilaukan mata
bak sinaran ratna

Mengaburkan suasana
tanpa bicara
hanya tertera di bafta
huruf dan frasa yang berkimbah
sipnosis sebuah cinta
tanpa hiraukan apa kata mereka
yang mementingkan hanya kita
setiap di panji sehuruf kata
setiap akral mengucap bukan hanya di lidah
di saksikan sang alam semesta

Panjian cinta bukan permainan mata
dari hati ke atma
tuturan bergetar
bertentangan tanpa bicara

Nagam Nukilan Pena Ilhamku ~ 30/03/2013 ~ Kota Singa

SURAM



Kerinduan yang mencengkam.....
memesongkan sinar hati...
umpama senja yang suram

~~danhayati~~
300313 10:45am

SYURGA DAN NERAKA

SYURGA DAN NERAKA

cakerawala,
ada aneka rupa,
berbintang kejora,
berpelangi wajah merah jingga,
bahkan semua warna ada,
berudara boleh dihela,
selalu ada,
lautan punyai gelora,
berbelion awan nano bertitik tanda,
hidupan di mayapada,
bernyawa,
berawalan jua berakhiran tiada dusta,
makin jauh kita meninggalkannya,
semakin mendekati kita.

syurga dikatakan berwarna,
berharuman,
punyai aroma rasa,
bersifat nyaman dingin,
sepanjang masa dunia,
mungkinkah ia ada di bulan?.

sedangkan neraka dinyatakan arca dirinya,
ada bahang membara,
jauh dari nyamannya syurga,
bersifat panas sepanjang masa,
mungkinkah ia ada di matahari jamung seluruh alam maya?.

syurga dan neraka,
dua alam ghaib yang berbeza,
keduanya ada,
setia menanti mampirnya kita,
ia pasti selalu ada.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Kg.Air,Semporna,Sabah.
300313.

SABTU YANG UNGU

SABTU YANG UNGU

selamat pagi sabtu daerah semporna,
apa khabar wakil rakyat?
bayu berpuput pada pagi ini lewat di jendela,
tinggalkan dingin untuk dikenang sambil beringat,
usalah cuma bermuram durja.

sabtu yang ungu itu senandung rindu,
sabtu yang ungu itu merentih pilu,
sabtu yang ungu itu ada serenceng sendu,
sabtu yang ungu itu kemaraunya telah berlalu,
sabtu yang ungu itu hujannya pernah membatu,
sabtu yang ungu itu buat warga dusun terpaku,
sabtu yang ungu itu kini mengelabu,
sabtu yang ungu itu membunuh si polan dan si anu,
sabtu yang ungu itu berjalanlah di atasnya membuang dungu,
sabtu yang ungu itu awalan baik untuk membantu,
sabtu yang ungu itu dulunya biru kini mengungu,
lalu yang ungu kini berduka merah merunduk sayu.

Nukilan Peninta Puisi,
Bayu.
Kg.Air,Semporna,Sabah.

Kunantikan Dandelion Bertamu.

Kunantikan Dandelion Bertamu.

Semalam yang berlalu
mematangkan fikiranku
usia menginjak waktu
mengorak langkahan kakiku
semakin laju
meninggalkan debu-debu kesebuan pilu

bersendiri di markas rindu
kusam dan berdebu
nyilu berlagu
benakku syahdu.

Hari ini aku berdiri tegar di bidangnya dadaku
mencarik semak berduri semalu
walau terbitnya darah di hujung jemariku
'kan kuteruskan menyisih duri-duri pilu; rindu
... bak dedalu.

Mungkin esok dandelion bertamu.

ss/spl/pm ... 30/03/2013.

Tuesday, April 9, 2013

TELUR

TELUR

Jangan bagi telur
rayu padamu
bersamaku

pahit untuk telan
pengajaran
terkilan
2008 tahun malang
teruk dicincang

14 peluang
satu menang
lebih tembelang
Pandan penawar duka
tambah dua
Sg Pelek Kuala Kubu Bharu
itu mampu

putus asa
biasa
namun
terus usaha
dekati mereka

kali ini cuba lagi
peluang menang
cari identiti
tabur berbakti

yahyaisa
Segamat Johor
30032013

BIAR ADA DARI TAK ADA


biar ada dari tak ada
bila tak ada rindu pula
sekurang-kuranganya boleh dijeling
walaupun mata naik juling

biar ada dari tak ada
bila tak ada terjenguk-jenguk
dalam hati ingin menyapa..
tapi rasa malu pula..
sudahnya melepaslah juga..

su:30/03/13:0110am

Sajak: MENITI HARI DI SUBUH SUNYI.

Sajak: MENITI HARI DI SUBUH SUNYI.

Subuh ini
aku masih lagi berpuisi
tentang hati
tentang naluri diri
tentang episod dinihari
di hujung kaki.

Subuh ini
aku masih lagi mencari
estetika diri
berfalsafah tentang sunyi
di meja sepi
kupuisikan identiti.

Bolehkah aku ini
menjadi penyair terpuji
tersohor dikenali
hanya berlandaskan fantasi dari imaginasi
akal kecut beruji
di pundak usia meniti hari.

Mungkinkah mimpi, aku ini
akan terpanggil menjadi
dan di puncak fajar kembali
aku gah berdiri
terus berkarya lagi
semampunya aku gagahi.

Di subuh ini, jemariku; ligat menyusun tari.

ss/spl/pm ... 30/03/2013.

Gurindam Embun Bersantun.

Gurindam Embun Bersantun.

Embun menitis di subuh sunyi;
umpama mimpi digaru ngeri,

termenung sendiri mengenang nasib;
terpalit noda di dada aib,

sedih terasa di dalam kalbu;
jiwa merintih orang tak tahu,

ke mana kubawa langkahan kaki;
rindu kuini masih berdaki,

kuseru bayu tolonglah aku;
bawalah rindu dari hatiku,

moga terubat rasanya lara;
menjelma subuh fajar menyapa,

tinggallah dinda tinggallah pujaan;
perginya kanda usah ditangiskan,

jika ada sumur di ladang;
pasti nanti kanda 'kan pulang,

salah dan silap maaf kupohon;
di hujung daun embun menyantun.

ss/spl/pm ... 30/03/2013.

Sebuah Pertanyaan Hati.

Sebuah Pertanyaan Hati.

Renunglah sayang
renungilah ke dalam mataku ini
dan kauselamilah
ke dasar hatiku
pasti kauakan dapat meneka
rahsia yang tersembunyi di dasarnya.

Renunglah sayang
sedalam-dalam dasar lubuknya
dan jawaplah
sebuah pertanyaan hati
tentang rinduku ini

hanya engkau yang akan mengerti.

ss/spl/pm ... 30/03/2013.

MELANGKAH KE SANA

MELANGKAH KE SANA

Duhai saujana
sungguh
dari para zikir-zikir maulana
bermacam warna meliputi sidratul muntaha
sangat indah bukan dari penjelasan mata - hati.
Di sana butir-butir permata, debunya adalah kasturi
baik tanahnya, airnya tawar dan lembahnya subur
tanaman-tanamannya
adalah Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaaha illallah dan Allahu Akbar
Jalinan ini terus meniti, maya-maya dan jali.

Duhai lentera
lestari jiwa
dari remang-remang malam dan tangan usang yang bercerita
menadah basah atas musala bukan kiblat dunia
menangislah kersani pura, bersiduga melamar nurani - empati.
Di sini alir-alir setia gugur, insani membina rumi
menyemai impi, membajai mimpi dan berkebun rasa
buah tangannya,
adalah pohon-pohon kurma Subhanallahi wabihamdihi
wasilah ini memahami dan menghayati.

Duhai gemala
luhur-luhur yang singgah
perjalanan memikat cahaya
bukan mengejar siasah dunia
hanya
perjalanan melangkah ke Sana.

Melangkah ke Sana.

.
Angah Arie
Seremban
050313 21:OO

ANDAI NANTI AKU PERGI

ANDAI NANTI AKU PERGI

Andai nanti aku pergi
tiada apa yang aku tinggalkan
hanya sebaris nama
entah letaknya di mana.

Andai nanti aku pergi
tiada apa yang aku tinggalkan
hanya secebis kenangan
entah sampai bila diingatan.

Andai nanti aku pergi
tiada apa yang aku tinggalkan
hanya harap berharapan
entah ranap-beranapan.

Hari ini, bersama satu tanya
Andai nanti aku pergi...

.
Angah Arie
Delusani Seremban
211012 04:30

Bukti Cinta Di Ranjang Kusam.

Bukti Cinta Di Ranjang Kusam.

Ranjang cinta malam semalam
menjadi saksi cinta disulam
mekar bersemi kasih terpendam
setelah terendam belum dihadam.

Telah kuukir di atas makam
makam cinta rindu dan dendam
segala kalam di malam suram
semakin suam berbalam kelam.

Layunya aku di ranjang kusam
menjadi saksi rindu bertalam
hangat asmara bahang direndam
mengalir jernih di pangkal buram.

Kusingsing pelangi di langit malam.

ss/spl/pm ... 29/03/2013.

Nafas-nafas cintaku II.

Nafas-nafas cintaku II.

Kuutuskan nafas cintaku
di waktu petang hembusan bayu
di dada bidang langit membiru
senja pula berdagang rindu
dan mentari disogok rayu
membentang gebar di kamar beradu
melelapkan mata yang kering dan layu.

Di situlah nafas cintaku
yang kuhembuskan buat dirimu
... wahai kekasihku

semoga jatuhnya nanti tepat di ribaan kamu.

ss/spl/pm ... 29/03/2013.

Cahaya Pagi



Cahaya pagi
menyuluh suci
sehari lagi
diberi menikmati
rahmat Ilahi.

Syukur Alhamdulillah.

CNM