Friday, May 10, 2013

BANGSAKU BERPULAU-PULAU

BANGSAKU BERPULAU-PULAU

Pentas opera dengan badut-badut bertopeng
melindungi wajah watak jelmaan
lembutnya senyuman menarik perhatian
menyanjung diri berbudi melangkaui awan
janjinya
bumi ini tidak akan kemarau
seperti lagu lama yang sering didendang
kerana mereka sanggup menurunkan hujan
hujan buatan yang hanya gerimis secawan
banjirnya di puncak
tebing dan muara terus gersang

mereka datang lagi
menabur janji dalam api
membakar sekam ke dalam
lidah-lidah bertikam

jauh terlalu jauh
membangun pepohon damai
kerana sungai tuba terus meracun
menyemai perseteruan

kopiah songkok bertelagah
menghentak meja perundingan
berasas Qalam yang syumul

bangsaku berpulau-pulau
terasing bersama ideologi anutan
tersendiri

mampukah
asam dan ikan bergaul sekuali

yahyaisa
Segamat Johor
18042013

No comments:

Post a Comment