Tiga musim telah kaugapai impian
puncak Yarmouk ingin kautawan
bukan dengan peluru senjata
tetapi dengan kalam dan tinta
Tiga musim kaujelajah bumi Arabela
kauteroka gersangnya padang palma
kaukutip lalu kaucampak biji-bijinya
lalu kausiram dan baja
terus kautuai buahnya
merasa juga nikmat kemanisannya
Tiga musim juga kaulakar kanvas kencana
lalu menjadi garis-garis indah pelbagai warna
kauabadikan dalam bingkai kembara
untuk ditatap ribuan sarjana
dengan tafsiran yang beraneka
Tiga musim kaubermadah di alam maya
dengan coretan-coretan mesra
ramah kaubisikkan kepada kami
sebagai pengubat hati nan sunyi
lenyap rawan di hati
Tiga musim kauselongkar khazanah kitab suci
berlandas amalan-amalan sunnah nabi
yang menjadi pegangan umat bertaqwa
dengan tafsiran mudah bicara
lalu meresap ke dalam batin dan minda
dan terhimpun dalam album perkasa
Tercapai hasratmu kini
dengan segolong kertas berlakri
terhasil dari segala titik peluh sejati
kembalilah ke pangkuan ibu pertiwi
lalu menabur bakti
carilah rezeki di sini.
Coretan:
Muhmad Amin
SMK Serian
13 JUN 2013
No comments:
Post a Comment