Followers

Carian Dalam Blog Ini

Saturday, June 15, 2013

DERHAKAKAH JEBAT ATAU TUAH YANG BUTA

DERHAKAKAH JEBAT ATAU TUAH YANG BUTA

Kononnya si Jebat derhaka menyongsong sultan dengan keris Taming Sari
berpencak meludah daulat istana dengan jeritan dan suara menggeram menagih dendam
dengan khabar Tuah mati dihukum kerana berselingkuh dengan dayang pemuas nafsu sultan
maka bergempitalah amukan Jebat atas nama darah persaudaraan yang berdiri di atas janji berlima
derhakakah Jebat mengajar raja yang tegaknya sekadar berlandaskan dengan nama pemerintah
raja yang membina pandangan hina pada dirinya sendiri di mata rakyat
memutus hukum yang bernafas fitnah dalam dendam bersendikan nafsunya sendiri.

Derhakakah Jebat tika keadilan diperlekeh oleh sultan yang disanjungnya sepenuh hati
derhakakah Jebat kerana membela kematian saudaranya kerana punya raja yang bernafsu serakah
atau derhakakah Jebat kerana amukannya mencemar daulat istana kononnya
atau derhakakah Jebat hanya kerana Tuah hero dalam catatan sejarah Melaka.

…Jebat tidak derhaka
cuma Jebat tersilap percaturan.

Qalam Bertinta
15062013
1613pm

No comments:

Post a Comment