Followers

Carian Dalam Blog Ini

Tuesday, October 9, 2012

JODOH BUAT EMAK

JODOH BUAT EMAK

Saya memandang emak. Memandang lama-lama.

Garis-garis halus usia jelas kelihatan di wajahnya yang bersih dan tenang. Segala jerih payah dugaan kehidupan yang selama ini dilalui tidak melunturkan kejernihan hati dan semangatnya,

Saya meletakkan kepala di pangkuan riba emak. Jari jemari emak berhenti menjahit dan lembut mengusap ubun ubun saya. Biarlah dikatakan sebagai anak manja, saya tidak kisah. Masa semakin pantas beredar dan saya ingin melalui setiap saat dengan merasai dan mengingati belaian dari emak.

"Mak, mak betul ke tak mahu ikut Lina ke sana? " tanya saya sambil membuat wajah paling sayu yang saya mampu. Manalah tahu hati emak akan terasa belas dan akhirnya emak akan setuju mengikut saya.

Emak menggeleng kepala sambil tersenyum.

"Lina, apa mak nak buat kat sana? Mak bukannya tahu bahasa orang Vietnam tu. Sekurang-kurangnya di sini, mak ada kawan-kawan, mak tahu setiap ceruk jalan. Lagipun, Lina boleh balik ke sini sebulan sekali menjenguk mak, kan." Lembut bicara ibu. Yang dipujuk pula memujuk. Berat terasa hati hendak meninggalkan emak sendirian sedangkan saya berada beribu batu darinya.

Ting! Tiba-tiba satu mentol lampu menyala di atas kepala.

Bagaimana jika saya carikan seseorang untuk menjaga emak sepanjang masa. Saya bukan 'penyibuk' tapi 'pencari jodoh' untuk emak. Orang tengah yang akan menemukan emaknya dengan orang yang sepadan. Sekurang-kurangnya akan tenanglah hati kerana emak tidak keseorangan. Satu idea yang bijak. Senyuman terukir hingga ke telinga.

Demi untuk misi penting ini, saya mula pulang ke rumah awal dari biasa. Meminta emak menemankan saya menemui jiran-jiran sebelum tiba hari untuk berangkat pergi ke Vietnam. Emak hanya mengikut, gembira mungkin kerana anaknya sedia menjalinkah ukhwah. Yang emak tidak perasan adalah anaknya merisik, memerhati andai ada calon-calon yang sesuai. Kalau emak tahu, pasti diketuknya kepala ini dengan senduk agar jadi kera seperti dalam cerita dongeng rakyat. Tak pun, mungkin akan disumpahnya anak ini menjadi batu. Emak, anakmu tidak derhaka, cuma risaukan kesejahteraan emaknya. Niat saya memang baik, bukan? Amin..

Hari berganti hari. Penat bercambah menjadi lelah. Hasilnya masih kosong. Sukar juga rupanya untuk mencarikan jodoh buat emak. Kaki dan otak seiring menjadi kematu. Tapi saya tak akan mengalah. Bukankah darah dan semangat Tun Kudu mengalir dalam jasad ini? Hanya akan mengalah apabila kucing mula bertanduk.
Ye, saya akan terus berusaha!

No comments:

Post a Comment