Followers

Carian Dalam Blog Ini

Tuesday, October 9, 2012

Jejak Silam Di Denai Yang Sama

Jejak Silam Di Denai Yang Sama

keramatkah cintaku saat terlafaz
bersama hembusan nafas yang dalam
dari relong hati yang pedih
ketika kaupinta aku menyarungkan
butir-butir kasih dalam keterpaksaan
sedang ada goresan halus merentang
nyerinya mengusik kenangan.

andai saja kautilik aku
pada jejak-jejak silam yang berangkai
akan kautemui wahana yang sukar dipadam
selagi detik waktu yang mampu menyingkap bayang
meski dalam saat kelam dan buram
kerana di sanalah tersembunyi cerita duka
yang pedihnya masih kemas tersimpan.

lalu kenapa harus kita kembali
bermula dari langkah pertama
sedang jejak itu masih dalam denai yang sama
hutan sepi dan temaram itu
adalah kolong bisu yang membuatkan kita jera
dan tidak mahu menoleh
dan cukuplah kenangan pahit itu
mengajar kita agar waspada.

janganlah dibina lagi cinta itu
atas runtuhan yang puing-puingnya
masih ngilu menjerat benang hati
yang semakin membaik.

Embi Estar - 9 Oktober 2012

No comments:

Post a Comment